PRN: Rekod Perkhidmatan BN Wajar Dinilai Rakyat – Sufian

KUALA PILAH, 31 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi menyeru rakyat agar menjadikan rekod khidmat bakti BN sebagai asas pertimbangan sebelum membuat pilihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah berkata sepanjang diberi mandat mentadbir negara dan negeri sebelum ini, BN telah membuktikan keupayaannya membawa pembangunan serta menjaga kebajikan rakyat secara konsisten.

“Nilailah rekod khidmat bakti BN yang telah sekian lama berkhidmat kepada negara dan negeri.

“Saya berharap gelombang biru yang berlaku di Johor dapat diterjemahkan di Negeri Sembilan supaya BN diberi mandat untuk mentadbir semula kerajaan negeri,” katanya.

Sufian berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas mengadakan kempen ziarah di Kampung Gemetir.

Sementara itu, beliau turut menyifatkan manifesto BN Negeri Sembilan sebagai tawaran komprehensif yang mampu memenuhi keperluan rakyat pelbagai lapisan sekiranya diberi mandat mentadbir semula negeri itu.

Menurut beliau lagi, tawaran tersebut bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya mencerminkan komitmen BN untuk meneruskan khidmat bakti kepada rakyat Negeri Sembilan.

“Manifesto ini merangkumi pelbagai aspek termasuk kebajikan belia, wanita, institusi agama, pembangunan ekonomi, infrastruktur dan banyak lagi. Saya melihat ia sebagai manifesto terbaik yang ditawarkan kepada rakyat Negeri Sembilan.

“Ia adalah tawaran BN untuk terus memberikan khidmat bakti kepada rakyat. Saya berharap rakyat dapat menilai manifesto ini sebagai asas untuk kita membangunkan Negeri Sembilan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Untuk rekod Muhammad Sufian pada PRN kali ini berhadapan dengan saingan tiga penjuru daripada calon Pakatan Harapan dan Bersatu.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 1 Ogos, manakala pengundian awal diadakan pada 28 Julai. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO