PRN NS: Jentera PDM Diminta Kekal Fokus Hingga Tamat Pengundian
KUALA PILAH, 31 Julai – Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan mengingatkan seluruh jentera Barisan Nasional (BN) agar tidak dibuai keyakinan berlebihan menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada esok.
Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah berkata sebaliknya jentera terus memperhebat gerak kerja bagi memastikan sokongan pengundi dapat diterjemahkan kepada kemenangan.
“Sebagai sebuah pasukan, kita tidak boleh ada perasaan terlalu yakin. Dalam politik, khususnya pilihan raya, kita perlu meletakkan diri sebagai underdog yang sentiasa berusaha untuk mendapatkan sokongan rakyat dan mencapai kemenangan.
“Pendekatan itu penting supaya jentera tidak cepat berasa selesa atau leka. Sebaliknya, kita perlu terus bekerja keras sehingga tamat tempoh berkempen bagi memastikan kemenangan calon-calon kita,” katanya kepada UMNO Online.
Adnan turut berharap momentum kempen dapat diteruskan sehingga hari pengundian, terutama oleh petugas di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang lebih mengenali corak dan keperluan pengundi di lokaliti masing-masing.
“Saya telah mengingatkan perkara ini kepada jentera dan berharap mereka sentiasa peka bagi memastikan seramai mungkin pengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada hari Sabtu nanti serta memberikan sokongan kepada BN.
“Melihat kepada gerak kerja jentera di semua lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kuala Pilah, saya dapati mereka berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya menjelang hari pengundian pada Sabtu ini.
“Saya yakin, insya-Allah, dengan usaha dan komitmen jentera yang telah bekerja keras sepanjang tempoh kempen, kita mampu memberikan keputusan yang terbaik pada pilihan raya ini,” ujar beliau.
Sementara itu Adnan turut optimis untuk BN mengekalkan penguasaan di empat DUN Juasseh, Senaling, Seri Menanti dan Johol.
Bagaimanapun bagi DUN Pilah, beliau berpandangan siangan sengit dihadapi calon BN, S Leza Md Yasin yang berhadapan dengan saingan sengit daripada penyandang.
“Bagi empat kerusi DUN ini, saya menjangkakan kita berpeluang memperoleh kemenangan yang agak selesa. Di DUN Pilah, kita tidak boleh terlalu yakin kerana kawasan ini sudah dua penggal tidak diwakili wakil rakyat daripada UMNO.
“Justeru, saya berharap calon kita, S Leza, terus turun padang dan memastikan kehadirannya dirasai di semua lokaliti mengikut jadual yang telah disusun,” ujar beliau.
Sebanyak 36 kerusi DUN dipertandingkan pada PRN kali ini, yang menyaksikan 103 calon layak bertanding.
DUN Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun bagi memberi laluan kepada PRN, manakala SPR menetapkan 1 Ogos sebagai hari pengundian. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
