Gelombang Biru: Jangan Leka, Teruskan Gerak Kerja Hingga Saat Akhir
PALONG, 31 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Palong Datuk Mustapha Nagoor mengingatkan seluruh jentera parti agar tidak mengambil mudah momentum positif yang sedang berpihak kepada BN, sebaliknya terus memperhebat gerak kerja sehingga ke saat akhir kempen.
Menurut beliau, walaupun keyakinan terhadap kebangkitan Gelombang Biru yang sebelum ini berlaku di Johor dilihat semakin dirasai di Negeri Sembilan, seluruh jentera perlu kekal fokus dan memastikan setiap penyokong BN keluar mengundi.

JEMPOL, 29 Julai – Penyandang dan Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Palong Datuk Mustapha Nagoor berucap dan beramah mesra bersama penduduk setempat ketika hadir ke Program Anak Muda Felda Palong 5 di Depo Tae Transport Felda Palong 5 malam tadi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan malam ini. .- Foto : UMNO -Online
“Kita rasai Gelombang Biru yang berlaku di Johor akan sampai ke Negeri Sembilan. Namun begitu, kita tidak boleh ambil mudah, tidak boleh leka dan tidak boleh alpa.
“Kita akan terus bekerja hingga ke minit terakhir. Saya menyeru seluruh jentera, rakan-rakan dan penyokong supaya terus memperkemaskan gerak kerja serta memastikan setiap pengundi kita keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian,” kata Ketua UMNO Bahagian Jempol itu.
Beliau berkata, dengan gerak kerja yang tersusun dan komitmen seluruh jentera, BN bukan sahaja berpeluang mempertahankan DUN Palong, malah berpotensi merampas kembali pentadbiran Negeri Sembilan.
“Insya-Allah, dengan izin Allah dan usaha bersungguh-sungguh daripada semua pihak, bukan sahaja Palong, malah seluruh Negeri Sembilan akan kembali ke tangan Barisan Nasional,” ujar penyandang DUN Palong itu.
Mengulas sambutan rakyat sepanjang tempoh berkempen, Mustapha yang mesra dipanggil Pak Mus berkata beliau berpuas hati dengan penerimaan yang diberikan oleh masyarakat di seluruh kawasan DUN Palong.
“Alhamdulillah, saya telah turun hampir ke setiap pelusuk Palong. Saya melihat semangat yang cukup baik dalam kalangan peneroka, penerokawati, generasi kedua serta anak-anak muda.
“Malah ramai anak-anak Palong yang berada di luar kawasan menyatakan kesungguhan mereka untuk pulang mengundi pada 1 Ogos bagi memberikan sokongan kepada Barisan Nasional,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa golongan muda kini semakin bijak menilai kepimpinan dan mahukan pentadbiran yang mampu menunaikan janji serta membawa kestabilan kepada negeri.
“Saya melihat ramai pengundi muda mahukan perubahan ke arah yang lebih baik. Mereka mahu melihat sebuah kerajaan yang bekerja untuk rakyat, menunaikan janji dan mentadbir dengan penuh tanggungjawab.
“Insya-Allah, jika kita terus berkhidmat dengan ikhlas dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, saya yakin rakyat akan terus memberikan sokongan kepada Barisan Nasional,” katanya lagi. – UMNO ONLINE
