Linggi Kekal BN… Mohd Faizal Pesan Jentera Terus Bekerja Sehingga Saat Akhir

PORT DICKSON, 31 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli menyeru jentera untuk terus bekerja sehingga ke saat akhir.

Ujar Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu, gerak kerja jentera masih perlu digerakkan sebaiknya di samping menzahirkan keyakinan bahawa Linggi akan terus kekal di bawah BN.

“Kita merasakan bahawa pada 1 Ogos nanti dengan kekuatan jentera yang kita ada dan kesetiaan para pengundi BN… walaupun dihempas pelbagai dugaan dan juga cabaran, saya lihat mereka masih kekal setia dan akan mengundi BN, Insya-Allah.

“Saya lihat kemenangan itu akan berpihak kepada BN. Kita akan terus berusaha untuk memastikan seluruh pengundi keluar mengundi bagi memastikan BN kekal di Linggi.

“Kepada para jentera BN, saya begitu yakin mereka akan terus bersemangat, kuat dan terus bekerja sehingga saat akhir… sehingga jam 5.00 petang pusat-pusat mengundi tutup pada 1 Ogos nanti, Insya-Allah,” kata Mohd Faizal yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Port Dickson.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO