Noraini Seru Rakyat Pilih BN, Parti Yang Stabil Dan Calon Berkaliber

RASAH, 31 Julai – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan supaya memilih Barisan Nasional (BN) sebagai parti yang mampu menawarkan kestabilan dan pengalaman dalam mentadbir negeri.

Beliau berkata, BN merupakan sebuah parti yang mempunyai pengalaman panjang dalam pemerintahan dan sentiasa bersedia membantu calon-calon sekiranya diberi mandat oleh rakyat.

“Calon-calon BN ini mewakili satu parti yang stabil dan mempunyai pengalaman menjadi pemerintah untuk tempoh yang panjang.

“Dengan memilih calon-calon BN, ia bermakna kita memilih kestabilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Kenduri Sekampung di kawasan Rasah, di sini, malam tadi.

Menurut Noraini, golongan wanita mempunyai peranan penting dalam menentukan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan memandangkan jumlah pengundi wanita di negeri itu hampir 50 peratus.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh pengundi wanita untuk keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian dan memberikan sokongan kepada calon-calon wanita BN.

“Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Presiden dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan atas kepercayaan meletakkan calon-calon wanita pada PRN kali ini.

“…dan BN, bukan hanya Presiden, malah saya sendiri selaku Ketua Wanita… kita akan bersedia untuk membantu semua calon yang menang nanti,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Noraini turut menyatakan keyakinan terhadap calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Maira Hasim, beroleh kemenangan pada PRN kali ini.

Beliau berkata, Maira berkaliber, mempunyai wawasan yang baik selain mampu berinteraksi dan mendengar pandangan golongan muda ketika turun menyantuni pengundi.

“Saya berdoa agar Maira boleh menang, dan bukan sekadar menang. Tetapi, menang cemerlang di kawasan ini.

“Saya melihat beliau mempunyai wawasan. Beliau tahu berinteraksi, mendengar dan cuba membawa apa jua yang diutarakan oleh pengundi-pengundi muda untuk dibantu sekiranya menang nanti,” katanya lagi.

Noraini turut menyeru seluruh pengundi supaya keluar mengundi pada awal pagi dan memberikan sokongan kepada calon BN pada hari pengundian, Sabtu ini.

“Kepada semua pengundi, saya memohon dan merayu supaya keluar mengundi dan undilah calon BN,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO