Nilai Pelaburan KLIP Hampir RM100 Bilion, Wujudkan Hingga 10,000 Peluang Pekerjaan
MELAKA, 31 Julai – Projek pembangunan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) bakal menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi Melaka apabila dijangka menarik pelaburan keseluruhan hampir RM100 bilion serta mewujudkan antara 6,000 hingga 10,000 peluang pekerjaan.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, projek berimpak tinggi itu bukan sahaja akan memperkukuhkan kedudukan negeri sebagai hab maritim dan logistik bertaraf antarabangsa, malah memberi limpahan manfaat kepada rakyat menerusi peluang pekerjaan dan pembangunan industri.

“Lebih membanggakan, pembangunan KLIP dijangka membuka antara 6,000 hingga 10,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor dan tahap kemahiran sekali gus memberi limpahan manfaat kepada rakyat Melaka.
“Bagi fasa permulaan, kerja-kerja penambakan disasarkan siap pada suku ketiga tahun 2028. Dengan nilai pelaburan keseluruhan menghampiri RM100 bilion, KLIP dijangka mula beroperasi secara berperingkat menjelang tahun 2030.
“Projek ini bukan sekadar pembangunan sebuah pelabuhan, malah bakal meletakkan Melaka sebagai hab maritim, logistik dan industri bertaraf antarabangsa yang mampu menarik lebih banyak pelaburan berkualiti,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook malam tadi.
Katanya lagi, beliau bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri mengadakan lawatan kerja ke tapak cadangan pembangunan KLIP, pada petang Khamis.

Menurutnya, pihak pengurusan KLIP yang diketuai Pengerusinya, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noormustafa Kamal Yahya turut membawa delegasi menaiki bot bagi meninjau kemajuan kerja-kerja penambakan laut yang kini telah mencapai kira-kira 70 ekar daripada keseluruhan lebih 620 ekar pembangunan yang akan dilaksanakan secara berfasa.
“Selepas kerja-kerja penambakan selesai, pembangunan akan diteruskan dengan pembinaan pelbagai komponen utama yang dirancang secara komprehensif, antaranya kawasan tangki penyimpanan seluas 170 ekar, limbungan kapal (shipyard) seluas 130 ekar, kawasan fabrikasi (fabrication yard) seluas 60 ekar, dermaga kargo (cargo wharf) seluas 70 ekar serta kawasan pergudangan seluas 103 ekar,” katanya.
Seterusnya, Ab Rauf menjelaskan projek strategik itu bukan sekadar melibatkan pembinaan sebuah pelabuhan baharu, sebaliknya bakal meletakkan Melaka sebagai hab maritim, logistik dan industri yang mampu menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke negeri itu.
“Kerajaan Negeri Melaka akan terus komited memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan setiap fasa pembangunan KLIP berjalan lancar, teratur serta mematuhi segala peraturan dan kerangka perundangan yang ditetapkan.
“Insya-Allah, KLIP akan menjadi simbol keberanian Melaka melakar masa depan yang lebih maju, berdaya saing dan sejahtera demi generasi akan datang,” katanya. – UMNO Online
