Jentera BN Sabah Perkukuh Kempen, Manfaatkan Baki Masa Raih Sokongan

REMBAU, 31 Julai – Lebih 60 jentera Barisan Nasional (BN) Sabah digerakkan bagi memperkukuhkan gerak kerja kempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, kehadiran delegasi BN Sabah yang terdiri daripada kepimpinan dan ahli UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda, Wanita serta Puteri UMNO Sabah mencerminkan komitmen berterusan parti dalam membantu memenangkan calon Barisan Nasional.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan perjumpaan bersama jentera BN Sabah di Rumah Sabah, Khamis, bagi menyelaras gerak kerja akhir kempen dan memperkukuhkan koordinasi antara semua pasukan yang terlibat.

Menurut beliau, tempoh kempen yang berbaki ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan memberi tumpuan kepada gerak kerja lapangan serta mendekati seramai mungkin pengundi.

“Masa semakin suntuk. Setiap saat amat berharga. Saya menyeru seluruh jentera agar bekerja dengan penuh disiplin, komitmen dan semangat berpasukan untuk memastikan mesej Barisan Nasional sampai kepada setiap pengundi. Insya-Allah, usaha yang ikhlas dan gerak kerja yang tersusun akan membuahkan hasil,” katanya.

Jafry turut menegaskan bahawa seluruh jentera perlu bergerak secara tersusun, bersepadu dan saling melengkapi agar setiap penugasan dapat dilaksanakan dengan berkesan sepanjang baki tempoh berkempen.

Pada masa sama, beliau berkata penglibatan BN Sabah di Negeri Sembilan membuktikan semangat setiakawan yang menjadi kekuatan keluarga besar BN, selain membalas sokongan yang sentiasa diberikan oleh negeri-negeri lain kepada Sabah dalam setiap pilihan raya.

“Kehadiran jentera BN Sabah bukan sekadar membantu kempen, tetapi menjadi lambang solidariti dan semangat kebersamaan dalam keluarga besar Barisan Nasional. Kita sentiasa saling membantu dan menguatkan antara satu sama lain demi memastikan kemenangan parti,” ujarnya.

Perjumpaan tersebut turut dimanfaatkan bagi menyelaras penugasan di setiap lokaliti, memperkukuhkan koordinasi antara sayap parti serta menyuntik semangat juang jentera sebelum memasuki fasa terakhir kempen menjelang hari pengundian Sabtu ini.

BN kini giat memperhebatkan gerak kerja di semua kawasan yang ditandingi bagi memastikan momentum sokongan rakyat terus diperkukuhkan sehingga hari pengundian. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO