Hari Akhir Kempen, Maira Perhebat Gerak Kerja Dekati Pengundi
SEREMBAN, 31 Julai – Memasuki hari-hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Siti Umaira Hasim memperhebat gerak kerja mendekati pengundi secara lebih dekat dan bersemuka.
Beliau berkata, tumpuan kini diberikan kepada kawasan dan penduduk yang masih belum sempat disantuni sepanjang tempoh kempen sebelum ini, termasuk menerusi pendekatan rumah ke rumah.

“Ini dah masuk minggu kedua dan minggu akhir untuk kita berkempen. Alhamdulillah, semua berjalan dengan lancar.
“Sekarang ini saya lebih fokus untuk mendekati penduduk yang kita tak sempat nak jumpa lagi. Jadi, saya lebih fokus kepada menyantuni mereka dengan lebih dekat lagi dan ziarah rumah ke rumah.
“Itulah strategi-strategi terakhir kita untuk hujung-hujung tempoh berkempen ini,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas mengenai penerimaan pengundi di kawasan berkenaan, beliau berkata sokongan yang diterima setakat ini adalah baik dan beliau berharap agar rakyat untuk membuat pilihan terbaik pada hari pengundian.
“Alhamdulillah, setakat ini semuanya baik-baik saja. Kita terima dan serahkan kepada rakyat untuk memilih mana yang bagus. Buat masa ini, penerimaan rakyat terhadap saya agak baik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua pengundi agar menunaikan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi pada 1 Ogos nanti dan memberikan sokongan kepada BN.
“Kepada rakyat Negeri Sembilan khususnya DUN Labu yang bakal mengundi pada 1 Ogos nanti, keluar awal dan undilah BN. Kita kembalikan semula biru di DUN Labu ini,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos, selepas DUN dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
