Kepimpinan Parti Dengar Hasrat Orang Melayu Mahukan Penyatuan – Bastien
KUALA LUMPUR, 30 Julai – Keputusan kepimpinan tertinggi UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mengorak langkah ke arah penyatuan Melayu disifatkan sebagai langkah tepat yang selari dengan aspirasi majoriti pengundi Melayu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Bastien Onn merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) kerana mengambil kira suara akar umbi yang sejak sekian lama mengharapkan penyatuan orang Melayu demi memperkukuhkan kekuatan politik negara.
Menurutnya, apabila orang Melayu kembali bersatu dan kukuh, ia bukan sahaja mengukuhkan kedudukan politik negara, malah membolehkan kepentingan semua kaum termasuk golongan minoriti terus dipelihara dengan lebih berkesan.
“Terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Kerja Tertinggi yang mendengar hasrat orang Melayu yang mahukan kesatuan. Bila Melayu telah kuat, barulah kita berupaya melindungi minoriti. Ini penyatuan Melayu yang ditunggu-tunggu.
“Saya percaya kepimpinan tertinggi parti mendengar kehendak dan impian pengundi Melayu yang mahukan kita kembali bersatu dan tidak berpecah-belah.
“BN bertanding di 25 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) (Pas dan Wawasan) bertanding di 11 kerusi. Formula ini akan diuji di PRN Negeri Sembilan,” katanya.
Mengulas lanjut kata Bastien, UMNO mempunyai pengalaman menjalin kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional, selain turut membentuk kerajaan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
“Kerjasama politik antara parti Melayu bukan sesuatu yang baharu kerana UMNO sebelum ini pernah bersama Pas menerusi Muafakat Nasional selain membentuk kerajaan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“UMNO sebelum ini pun pernah bersama Pas di dalam Muafakat Nasional malah membentuk kerajaan bersama Bersatu ketika itu dan kerjasama itu terlerai,” katanya lagi.
Dalam masa sama kata Bastien lagi, komponen BN termasuk MCA dan MIC, kekal sebagai rakan perjuangan yang sebenar dalam memperkukuhkan gabungan itu demi kestabilan negara.
“MCA dan MIC merupakan rakan sebenar di dalam BN. Tiada yang sempurna tetapi terus mencari kesempurnaan bagi mewakili kaum Cina dan India dengan baik. BN dan PN keseragaman yang dicari bagi Malaysia yang aman makmur.
“Apa yang kita dengar daripada pengundi ialah masih banyak masalah setempat yang belum berjaya diselesaikan. Kita yakin angin perubahan akan berlaku,” ujarnya. – UMNO Online.
