Kebajikan Peneroka, Rumah Generasi Kedua FELDA Terus Dipinggirkan Di Bawah PH
PALONG, 30 Julai – Kebajikan peneroka dan masa depan generasi baharu FELDA terus dipinggirkan sepanjang pentadbiran Pakatan Harapan (PH), sekali gus membuktikan kerajaan tersebut gagal memahami keperluan masyarakat tersebut.
Calon Barisan Nasional (BN) dan penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Palong Datuk Mustapha Nagoor berkata, sejak PH mengambil alih pentadbiran pada 2018, pelbagai inisiatif yang sebelum ini dinikmati warga FELDA semakin terabai, termasuk penyediaan rumah untuk generasi kedua.
Katanya, ini berbeza ketika pentadbiran BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, FELDA sentiasa diberikan perhatian istimewa dengan pelbagai bantuan dan suara warga peneroka sentiasa diberi keutamaan.

“Tanyalah ayah-ayah kita ini, zaman Datuk Najib dulu, FELDA ini ibarat anak emas. Macam-macam buah tangan sentiasa ada ketika musim perayaan, tahun baharu dan di penghujung tahun. Di samping suara kita ini didengari, terutama dalam soal pembinaan rumah generasi kedua.
“Zaman BN sebanyak 11,000 rumah generasi kedua berjaya dibina di seluruh negara. Malah dana RM2 bilion telah disediakan bagi menyiapkan projek-projek perumahan FELDA. Namun selepas kerajaan bertukar pada 2018, banyak projek terbengkalai sehingga hari ini,” katanya ketika berucap dalam program santai bersama anak muda di FELDA Palong 5, di sini.
Mustapha yang berpengalaman sebagai Pengerusi Task Force FELDA Wilayah Raja Alias berkata, hasil penelitian terhadap pelbagai projek perumahan mendapati banyak rumah yang hampir atau sudah siap gagal diserahkan kepada pemilik hanya kerana masalah kecil yang tidak diselesaikan.
Katanya, di FELDA Pasoh 2 misalnya, projek yang telah siap sepenuhnya tergendala selama bertahun-tahun hanya kerana kerja penyambungan pam air bernilai sekitar RM20,000 hingga RM30,000.
“Di Bukit Jalor dan Bukit Rokan Utara pula, rumah telah siap tetapi tidak boleh diduduki kerana isu sambungan bekalan air yang tidak diselesaikan. Ini menunjukkan tiada kesungguhan daripada pimpinan kerajaan PH untuk menyelesaikan masalah generasi kedua FELDA yang memerlukan rumah,” katanya.

Seterusnya, Mustapha yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Mus turut membangkitkan isu projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) di Palong 8, melibatkan 300 unit yang menurutnya masih gagal disiapkan walaupun kontraktor penyelamat telah dilantik.
“Kontrak bernilai jutaan ringgit diberikan, tetapi akhirnya projek tetap terbengkalai. Yang menjadi mangsa ialah anak-anak peneroka yang sudah terlalu lama menunggu rumah sendiri,” ujarnya.
Tambahnya lagi, BN turut mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri supaya lot-lot kediaman kosong di kawasan FELDA diberikan kepada generasi kedua sebagai penyelesaian lebih cepat dan praktikal.
Kata Ketua UMNO Bahagian Jempol itu, cadangan tersebut tidak memerlukan kos pembangunan infrastruktur yang tinggi kerana kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air telah tersedia.
“Kita telah arahkan semua pengurus FELDA mengumpulkan data lot-lot kosong di setiap rancangan. Semua kerja telah disiapkan dan dikemukakan kepada Pejabat Tanah, namun sehingga kini tiada tindakan diambil.
“Sebab itu dalam manifesto BN kali ini, penyelesaian isu lot kediaman generasi kedua FELDA dijadikan antara agenda utama supaya anak-anak peneroka yang menetap di sini mendapat peluang memiliki tapak rumah sendiri,” katanya.
Menurutnya lagi, isu pembinaan rumah di atas lot milik ibu bapa peneroka juga masih gagal diselesaikan apabila permohonan sambungan bekalan elektrik dan air semakin sukar diperoleh selepas 2018.
“Anak-anak peneroka bukan meminta tanah baharu atau bantuan kewangan. Mereka hanya mahu membina rumah di atas tanah milik keluarga sendiri dan memohon kebenaran mendapatkan bekalan elektrik serta air, namun perkara asas ini pun gagal diselesaikan.
“Inilah yang membuktikan bahawa warga FELDA dan generasi baharu terus dipinggirkan di bawah pentadbiran PH,” katanya.
Justeru, Mustapha percaya masyarakat FELDA semakin menyedari hakikat tersebut sebagaimana dibuktikan dalam Plihan Raya Negeri (PRN) di Johor apabila hampir keseluruhan Pusat Daerah Mengundi (PDM) FELDA serta di setiap saluran mengundi memberikan sokongan kepada BN.
Mustapha juga menyeru warga FELDA di Negeri Sembilan khususnya di DUN Palong supaya memberikan mandat kepada BN agar perjuangan membela nasib peneroka serta memastikan generasi baharu FELDA memiliki rumah dan tapak kediaman sendiri dapat direalisasikan. – UMNO ONLINE
