Jangan Sia-siakan Peluang Emas Timba Pengalaman Bersama Pemimpin Negara

PUTRAJAYA, 29 Julai – Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara, Datuk Mohamad Alamin berkata Program Executive Apprenticeship Siri Kedua dianjurkan semula susulan sambutan luar biasa serta maklum balas amat positif yang diterima daripada peserta siri pertama yang berlangsung pada Ogos tahun lalu.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, kejayaan penganjuran terdahulu membuktikan program tersebut mampu menjadi platform terbaik untuk melahirkan mahasiswa Malaysia di luar negara yang lebih berwibawa, berpengalaman serta memahami realiti pentadbiran kerajaan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

“Program ini diadakan semula kerana kita melihat permintaan yang tinggi serta menerima maklum balas yang sangat positif daripada peserta siri pertama. Ini menunjukkan inisiatif ini benar-benar memberi manfaat kepada mahasiswa.

“Para peserta perlu memanfaatkan peluang berharga itu sebaik mungkin dan tidak sekadar mengisi masa cuti ketika berada di tanah air. Bagi edisi kali ini, menerima permohonan daripada pelajar di lima negara iaitu United Kingdom, Korea Selatan, Mesir, Jordan dan Indonesia, selain turut disertai beberapa pelajar dari universiti tempatan.

“Ini adalah ‘golden opportunity’ untuk anak-anak semua mempelajari ilmu, memahami proses pentadbiran negara serta membina pengalaman yang pastinya menjadi bekalan berharga apabila tamat pengajian dan kembali berkhidmat kepada Malaysia,” beliau berkata demikian pada majlis Program Executive Apprentice 2.0 Tahun 2026.

Turut hadir, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Setiausaha Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta peserta-peserta Executive Apprentice 2.0.

Mohamad yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menjelaskan bahawa program tersebut melibatkan kerjasama pelbagai kementerian utama.

“Program ini melibatkan kerjasama pelbagai kementerian utama termasuk Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Ekonomi.

“Terdapat beberapa agensi utama negara seperti MARA, PTPTN, MATRADE, Education Malaysia Global Services (EMGS) dan RISDA turut terlibat dalam menjayakan program berkenaan bagi memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta terhadap ekosistem pendidikan, pembiayaan, pembangunan bakat serta pentadbiran negara,” katanya lagi.

Ujarnya, penyertaan pelbagai kementerian dan agensi strategik itu membuktikan komitmen kerajaan dalam menyediakan ruang pembelajaran yang berkualiti kepada mahasiswa.

“Ia membuktikan komitmen kerajaan dalam menyediakan ruang pembelajaran yang berkualiti kepada mahasiswa yang berada pun luar negara.

“Agar mereka pulang sebagai generasi pelapis yang berilmu, berkemahiran serta bersedia menyumbang kepada pembangunan negara,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO