PRN: Manifesto BN Lengkap, Penuhi Keperluan Rakyat – Saiful Yazan

KUALA PILAH, 29 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman menyifatkan manifesto BN Negeri Sembilan sebagai pelan menyeluruh yang mampu memenuhi keperluan rakyat serta memacu pembangunan negeri.

Menurut beliau, manifesto tersebut merangkumi pelbagai aspek penting yang akan menjadi asas kepada pentadbiran negeri sekiranya BN diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

“Apa yang saya lihat, manifesto yang dibentangkan adalah sembilan teras yang telah dibentangkan dan juga ada 88 usaha yang telah dibentangkan.

“Saya yakin dan percaya apa yang telah dibentangkan itu hampir keseluruhannya merangkumi apa juga keperluan yang akan kita bawa nanti insya-Allah jika kita diberi peluang oleh rakyat untuk mentadbir Negeri Sembilan,” katanya.

Saiful berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas mengadakan kempen di Pasar Malam Dangi, baru-baru ini. Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan.

Mengulas lanjut beliau turut memaklumkan manifesto tersebut selari dengan iltizam yang digariskan beliau untuk pembangunan di Johol.

Katanya, perkara itu memberi keyakinan bahawa perancangan di peringkat negeri dan kawasan dapat dilaksanakan secara seiring.

“Dalam manifesto itu melibatkan aspek pertanian, aspek pendidikan dan juga pembangunan.

“Saya melihat tiga perkara ini, ia sejajar juga selari dengan iltizam yang telah saya bentangkan semasa awal berkempen tempoh hari iaitu iltizam ilmu, pembangunan, pelancongan.

“Dan apa yang saya lihat, iltizam yang saya bentangkan itu selari dengan apa yang telah dibentangkan ataupun manifesto BN Negeri Sembilan itu sendiri,” ujar beliau.

Terdahulu BN Negeri Sembilan mengumumkan 88 usaha berpandukan sembilan teras utama sebagai manifestonya sempena PRN16.

Manifesto tersebut ditambah dengan 15 inisiatif Skim Salam Sejahtera, selain penubuhan satu Unit Penyelerasan Pemantauan Pelaksanaan Manifesto sekiranya gabungan itu diberi mandat membentuk Kerajaan Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO