Rakyat Johor Bakal Nikmati Taman Rekreasi Moden, Inklusif di Mutiara Rini

JOHOR BAHRU, 29 Julai – Rakyat Johor bakal menikmati kemudahan rekreasi awam yang lebih moden, selesa dan inklusif menerusi cadangan pembangunan Laman Deria Pintar (Smart Sensory Park) di Hutan Bandar MBIP Mutiara Rini yang dianggarkan bernilai lebih RM13 juta.

Projek yang dilaksanakan Kerajaan Negeri menerusi Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) itu bakal mentransformasikan kawasan seluas lebih 60 ekar menjadi sebuah taman rekreasi bertaraf moden yang memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, usaha menaik taraf taman-taman awam di seluruh negeri merupakan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menyediakan ruang riadah yang lebih berkualiti untuk Bangsa Johor.

“Taman-taman di seluruh negeri akan terus dinaik taraf sebagai ruang riadah yang lebih baik untuk Bangsa Johor. Itulah hasrat dan matlamat Kerajaan Negeri,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas meninjau cadangan pembangunan Laman Deria Pintar di Hutan Bandar MBIP Mutiara Rini.

Beliau berkata, pembangunan tersebut merangkumi sembilan komponen utama termasuk taman permainan, kawasan waterplay, kolam cetek, pavilion, ruang santai dan pelbagai kemudahan awam yang dibangunkan berteraskan konsep Universal Design.

Menurut beliau, pendekatan itu memastikan kemudahan berkenaan dapat dinikmati oleh semua golongan termasuk kanak-kanak, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) serta institusi keluarga dalam suasana yang selesa dan selamat.

“Cadangan pembangunan ini bukan sahaja menjadikan taman ini lebih indah dan lestari, malah memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat dengan kemudahan yang moden dan mesra komuniti,” ujar beliau.

Dalam pada itu, aspek kelestarian alam turut diberi perhatian apabila usaha meningkatkan kualiti air tasik dilaksanakan melalui pelepasan mud ball dan ikan bagi mengurangkan enapan serta bau, di samping memelihara biodiversiti dan keseimbangan ekosistem akuatik.

Kemudahan Gym Muafakat Hutan Bandar MBIP turut dipertingkatkan dengan sistem pendaftaran digital yang membolehkan pengguna merekod serta memantau perkembangan kecergasan mereka secara lebih sistematik pada kadar penggunaan hanya RM5.

Onn Hafiz berkata, Kerajaan Negeri akan terus memperkasa pembangunan yang memberi nilai tambah kepada kehidupan rakyat melalui penyediaan ruang awam yang berkualiti, lestari dan mesra komuniti.

“Semoga Hutan Bandar MBIP Mutiara Rini terus berkembang sebagai destinasi rekreasi pilihan Bangsa Johor serta simbol keseimbangan antara pembangunan, kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO