BN Tidak Cakap Kosong, Hadir Bersama Rekod Dan Bukti Kejayaan – Mohd Hasnol
SUNGAI LUI, 29 Julai – Barisan Nasional (BN) bukan sebuah parti yang hanya pandai berjanji, sebaliknya tampil dengan rekod pencapaian dan bukti kejayaan yang terbukti dalam membela kebajikan serta kepentingan rakyat sejak sekian lama.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Hasnol Ayub berkata, segala pembangunan yang dinikmati rakyat hari ini menjadi bukti jelas bahawa BN merupakan sebuah kerajaan yang bekerja dan menunaikan tanggungjawabnya, bukannya sekadar membuat janji.
Menurutnya, sepanjang tempoh pentadbiran BN, pelbagai projek pembangunan berjaya direalisasikan termasuk pembinaan sekolah, jalan raya, hospital, kemudahan internet dan institusi pengajian tinggi yang memberi manfaat kepada rakyat di seluruh negara.

“Saya selalu tegaskan bahawa BN bukan parti yang hanya pandai bercakap. BN bercakap dan pada masa sama melaksanakan apa yang dijanjikan. Kita mempunyai rekod, fakta dan bukti yang kukuh mengenai pencapaian yang telah dilaksanakan demi kepentingan rakyat.
“Kalau kita melihat sejarah, BN sentiasa menjadi parti yang membela hak dan kepentingan rakyat di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jom Lepak Anak Muda di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lui Timur, di sini Selasa malam.
Hadir sama calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui Datuk Mohd Razi Mohd Ali.
Mohd Hasnol turut menjadikan Sabah sebagai contoh kejayaan pentadbiran BN apabila hampir keseluruhan pembangunan asas di negeri itu diwujudkan ketika pemerintahan BN.
“Selama 24 tahun BN memerintah Sabah secara mutlak, sekitar 90 hingga 95 peratus pembangunan yang ada hari ini diwujudkan oleh Kerajaan BN.
“Saya orang Sabah dan saya sendiri menyaksikan jasa-jasa BN. Sekolah, jalan raya, hospital, kemudahan internet, universiti dan pelbagai infrastruktur yang dinikmati rakyat hari ini sebahagian besarnya diwujudkan ketika pentadbiran BN,” kata Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Sabah itu lagi.
Tambahnya lagi, rekod pencapaian tersebut membuktikan BN bukan sekadar membawa slogan, sebaliknya hadir dengan bukti nyata hasil kerja yang memberi manfaat kepada rakyat.
Dalam pada itu, Mohd Hasnol mengingatkan seluruh jentera parti agar tidak terlalu selesa meskipun melihat momentum sokongan terhadap BN semakin positif hasil kerjasama yang terjalin di bawah kepimpinan parti.
“Walaupun kita melihat momentum BN begitu kuat dan semakin kencang, kita tidak boleh leka. Kita mesti terus bekerja, mendekati keluarga, sahabat serta masyarakat di sekeliling untuk memastikan mereka keluar mengundi.
“Kita perlu terus mengingatkan rakyat supaya tidak leka dan keluar mengundi beramai-ramai pada hari pengundian serta memberikan sokongan kepada parti yang mempunyai rekod terbukti membawa kemajuan dan masa depan yang lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Hasnol turut menyatakan keyakinan bahawa sudah tiba masanya Negeri Sembilan dipimpin oleh BN yang mempunyai pengalaman, rekod kecemerlangan serta keupayaan untuk meneruskan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat. – UMNO ONLINE
