Pengalaman BN Jadi Asas Manifesto Berpaksikan Rakyat – Azalina

KUALA PILAH, 28 Julai – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pengalaman panjang Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihan raya menjadi asas kepada keupayaan untuk menggubal manifesto yang berpaksikan kepentingan masyarakat, termasuk di Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ini.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, UMNO kekal sebagai parti yang memahami keperluan setempat hasil pengalaman mentadbir serta hubungan rapat dengan masyarakat sejak sekian lama.

“Kalau tengok BN, kita sudah berpengalaman menghadapi pilihan raya sebagai parti politik yang lama. Parti-parti politik yang menawarkan diri pada hari ini banyak datang daripada perut UMNO/BN.

“Jadi bagi saya, kita sendiri lihat bahawa UMNO selalunya menjadi parti yang memahami sekali tentang isu rakyat, kepahaman berkenaan dengan isu-isu tempatan.

“Itu sebabnya saya tengok manifesto PRN Negeri Sembilan tu memang fokus kepada keperluan rakyat,” katanya.

Azalina berkata demikian ketika ditemui media ketika melakukan ‘walkabout’ kempen di sekitar pekan Kuala Pilah.

Turut hadir Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Datuk Bibi Sharliza Mohd Khalid dan calon BN Dewan Undangan Negeri Pilah S Leza Md Yasin.

Sementara itu, Azalina turut memaklumkan BN sentiasa konsisten dalam mendekati golongan muda menerusi Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO yang telah sekian lama menjadi wadah memperjuangkan aspirasi generasi tersebut.

Menurut beliau, usaha mendekati pengundi muda bukanlah sesuatu yang hanya bermula selepas pelaksanaan undi 18, sebaliknya telah dilaksanakan sejak sekian lama sebagai sebahagian daripada pendekatan parti.

“BN memang sentiasa peka terhadap isu-isu melibatkan golongan muda dengan adanya Pergerakan Pemuda dan Puteri. Konsistensi ini telah kita kekalkan sejak sekian lama.

“Maksudnya apabila bercakap mengenai undi 18, gerakan kita sebenarnya sudah pun bersedia lebih awal. Jadi, ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana kebanyakan pengundi muda datang daripada institusi keluarga.

“Apabila kita melihat UMNO/BN, kita mempunyai rangkaian keluarga yang kuat dalam parti. Seperti yang berlaku di Johor, komunikasi itu amat penting. Saya yakin Pergerakan Pemuda dan Puteri bersama calon-calon yang bertanding mampu menggerakkan kempen secara positif untuk membantu UMNO/BN,” katanya. 

Terdahulu BN Negeri Sembilan mengumumkan 88 usaha berpandukan sembilan teras utama sebagai manifestonya sempena PRN Negeri Sembilan ke-16.

Manifesto tersebut ditambah dengan 15 inisiatif Skim Salam Sejahtera, selain penubuhan satu Unit Penyelerasan Pemantauan Pelaksanaan Manifesto sekiranya gabungan itu diberi mandat membentuk Kerajaan Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

 

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO