Mengeluh Kena Bayar RM1 Bilion? PH Yang Janji Hapus Hutang Peneroka
JEMPOL, 28 Julai – Bekas Pengerusi FELDA Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menegaskan rakyat tidak seharusnya dikelirukan dengan dakwaan bahawa kerajaan hari ini terpaksa menanggung bayaran kira-kira RM1 bilion setahun bagi hutang FELDA.
Hakikatnya ujar Ahmad Shabery, komitmen tersebut berpunca daripada janji manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

“Saya agak terkejutlah baru-baru ini bila ada yang menyebut “Kesian kerajaan sekarang ni kena tanggung RM1 bilion setahun untuk bayar hutang FELDA”. Kita kena faham ada hutang peneroka, ada hutang FELDA. Kenapa FELDA tiba-tiba dikatakan berhutang RM9 bilion, dekat RM10 bilion?
“Ya, peruntukan dia boleh berhutang sampai RM9.9 bilion. Dan dijamin oleh kerajaan, kerajaan kena bayar RM1 bilion. Sebenarnya puncanya kerana ini adalah satu daripada janji dalam manifesto Parti Pakatan Harapan (PH) dalam tahun 2018.
“Dulu dia janji 10 janji dalam 100 hari nak selesaikan (PH 1.0). Termasuk hapuskan GST (cukai barang dan perkhidmatan), tol, PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional)… antaranya menghapuskan hutang peneroka,” katanya.
Ahmad Shabery berkata demikian dalam sesi Santai Minum Potang di FELDA Palong 2, di sini, baru-baru ini yang turut dihadiri Ketua Peneroka FELDA Wilayah Raja Alias Datuk Zainal Abidin Ahmad.
Jelas Ahmad Shabery, sebelum ini FELDA menyediakan pelbagai bentuk pembiayaan kepada peneroka termasuk pinjaman membina dan membesarkan rumah, pendidikan anak-anak, pembelian komputer serta kos penanaman semula kebun yang mencecah puluhan ribu ringgit bagi setiap hektar.
Katanya, bagi proses penanaman semula, FELDA turut mendahulukan bantuan sara hidup kepada peneroka sepanjang tempoh pokok belum mengeluarkan hasil, dan semua kemudahan itu direkodkan sebagai pinjaman.
“Kos tanam semula besar. Satu hektar tanah boleh mencecah RM20 ribu ke RM25 ribu. Jadi, sampai RM100 ribu kalau tak tanam semula, takkan nak biarkan macam tu saja? Apa hasil bila tanam semula? Berapa tahun? Selama empat tahun nak ada sara hidup, FELDA dahulukan. Nak sampai ke besar pokok itu, FELDA dahulukan RM1,500 sara hidup sebagai pinjaman.
“Ada orang datang janji, “Kalau undi kami, hutang ini semua kita selesai” …mestilah menang. Contoh beli kereta, rumah dengan berhutang dan kerajaan kata selesaikan semua, kerajaan mesti menang. Tapi bank akan tanggung. Yang ini hapuskan, FELDA kena tanggung.
“FELDA kena tanggung hutang yang dilangsaikan tadi. Siapa suruh berjanji? Tiba-tiba mengeluh pula, “Aku kena bayar RM1 bilion pula setahun kerana janji yang kamu buat”, tetapi kerajaan kena tanggung perkara ini,” jelasnya.
Menurut Ahmad Shabery lagi, komitmen kewangan FELDA turut meningkat apabila agensi itu mengambil alih semula pegangan saham dalam FGV, yang memerlukan perbelanjaan berbilion ringgit bagi membeli saham yang berada di pasaran.
“Seperti bila keputusan yang dibuat untuk ambil alih FGV pada waktu tersebut. Maka, FELDA kena cari duit untuk membeli semua saham-saham yang ada dalam pasaran pada waktu itu.
“Itu pun menelan belanja RM3 bilion ke RM4 bilion. Jadi, janganlah ‘complain’ kerana janji kamu. Kalau dikira, janji yang dibuat pada waktu itu besar,” katanya.
Dalam masa sama, Ahmad Shabery berkata rakyat perlu diingatkan tentang manifesto PH pada 2018 yang turut mengandungi pelbagai janji seperti pemansuhan GST, penghapusan tol dan hutang PTPTN serta lain-lain lagi yang akhirnya memerlukan peruntukan kewangan yang besar.
‘Sebab pada waktu itu bila buat janji, dia sentiasa berfikir menang dulu, lepas itu orang akan lupa tentang perkara ini. Sebab itu bila menang, dia terpaksa laksanakan.
“Dilaksanakan di bawah zaman Tan Sri Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin – Perdana Menteri Kelapan) dahulu. Dia cuba dilaksanakan perkara ini. Ya, bila nak teruskan, kena bayar. Itu yang ditanggung oleh kerajaan sekarang ini. Jangan ‘complain’,” tegasnya. – UMNO ONLINE
