PRN: Kempen Secara Sihat, Jangan Gugat Keharmonian Rakyat
TAMPIN, 28 Julai – Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa menyifatkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai langkah ke arah memperkukuh kerjasama politik demi kesejahteraan rakyat.
Bagaimanapun beliau yang juga Ahli Parlimen Tampin berkata persefahaman tersebut bukan bertujuan menolak mana-mana pihak sebaliknya bagi membentuk sebuah kerajaan yang mewakili kepentingan pelbagai kelompok masyarakat rakyat.
“Dap menggunakan sentimen masyarakat Cina yang dikatakan takut kepada Pas susulan persefahaman yang terjalin ini. Namun begitu, jentera-jentera kita telah memberikan penjelasan dan menjawab kebimbangan pengundi, khususnya masyarakat Cina, supaya mereka tidak perlu risau.
“Selama 60 tahun BN memerintah, kita tidak pernah mengganggu hak mana-mana kaum sama ada India, Cina mahupun Melayu. Kita sentiasa saling menghormati budaya dan agama masing-masing.
“Di Tampin ini, kita hidup dalam suasana aman dan damai. Jadi, kita tidak mahu pihak-pihak luar cuba mengganggu-gugat keharmonian yang telah wujud di Tampin. Walaupun bertanding… kita bertanding secara sihat jangan runtuhkan keharmonian yang ada,” katanya.
Mohd Isam berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas menyantuni pemandu lori sebelum melakukan pelepasan konvoi dari Asahan ke Gedok.
Turut hadir calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar.
Sementara itu, beliau turut menyentuh mengenai perjalanan kempen yang dijalankan sambil memaklumkan penerimaan terhadap calon BN bukan sahaja positif dalam kalangan penyokong parti, malah turut mendapat sokongan daripada pengundi atas pagar.
Menurutnya, persefahaman yang terjalin antara BN dan PN turut memberi momentum yang baik dalam usaha memastikan kemenangan calon BN di DUN Gemencheh.
“Alhamdulillah, kempen sudah seminggu berlalu sepanjang tempoh tersebut, kempen berjalan dengan baik dan jentera-jentera bergerak dengan lancar di DUN Gemencheh ini, kita tidak menghadapi sebarang masalah.
“Apabila calon diumumkan, penerimaan orang ramai cukup baik. Bukan sahaja dalam kalangan penyokong Barisan Nasional, malah pengundi atas pagar juga menerima calon kita dengan sebaik mungkin.
“Apabila wujud persefahaman antara UMNO dan Pas, antara BN dan PN, ia memberi impak dari segi momentum dan gelombang kemenangan kepada calon BN di Gemencheh.
“Bagi DUN Repah pula, memang sudah empat penggal Dap memenangi kawasan tersebut. Tetapi kali ini, saya berkeyakinan bahawa BN mampu merampas kembali DUN ini,” ujar beliau.
Untuk rekod, DUN Gemencheh dan Repah menyaksikan pertembungan dua penjuru menentang calon daripada Pakatan Harapan (PH).
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 1 Ogos, manakala pengundian awal diadakan pada hari ini. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
