Manifesto BN Sentuh Segenap Lapisan Masyarakat, Pelbagai Inisiatif Baharu
TAMPIN, 28 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar berpandangan manifesto BN Negeri Sembilan bertemakan ‘Hebatkan Semula Negeri Sembilan’ merupakan tawaran yang menyeluruh dengan mengambil kira keperluan rakyat.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tampin berkata manifesto tersebut ternyata menyentuh keperluan semua lapisan masyarakat, daripada golongan muda, warga emas hingga usahawan.
“Berkenaan manifesto BN Negeri Sembilan yang bertemakan ‘Hebatkan Semula Negeri Sembilan’, saya melihat antara perkara baik ialah peningkatan bantuan kepada belia yang berkahwin. Sebelum ini kita beri RM500, tetapi kali ini BN Negeri Sembilan menaikkannya kepada RM1,000 seorang.
“Selain itu, terdapat pelbagai lagi inisiatif sokongan seperti bantuan kepada peniaga muda serta mereka yang baru menceburi bidang perniagaan.
“Antara inisiatif terbaik juga ialah insentif warga emas apabila umur kelayakan diturunkan daripada 70 tahun kepada 65 tahun untuk menikmati manfaat yang sedia ada.
“Bagi saya, manifesto kali ini adalah manifesto yang terbaik untuk masyarakat Negeri Sembilan. Sebelum ini, manifesto kita juga sering menjadi rujukan pihak lain, tetapi kali ini kita tampil dengan manifesto yang lebih baik serta ditambah dengan pelbagai inisiatif baharu,” katanya.
Suhaimizan berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas menyantuni pemandu lori sebelum melakukan pelepasan konvoi dari Asahan ke Gedok.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian merangkap Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa.
Sementara itu, beliau turut menyentuh berkenaan sokongan yang diterima apabila pemandu lori menyertai konvoi solidariti sebagai tanda sokongan kepada BN di DUN Gemencheh.
Menurut Suhaimizan, sokongan tersebut dizahirkan secara sukarela oleh pemandu lori yang juga merupakan pengundi di kawasan berkenaan.
“Insya-Allah, kita akan birukan DUN Gemencheh dan ini adalah antara petanda-petanda bahawa kita akan menang di DUN Gemencheh.
“Semua pemandu lori ini merupakan pengundi di DUN Gemencheh yang sangat teruja bersama kita untuk memenangkan Gemencheh,” ujar beliau.
Untuk rekod Suhaimizan pada PRN ini berhadapan saingan dua penjuru daripada Pakatan Harapan (PH).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini, manakala pengundian awal pada hari ini. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
