Manifesto Realistik, BN Tidak Janji ‘Bulan Dan Bintang’ – Mohd Asna
SEREMBAN, 27 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin menegaskan manifesto yang diketengahkan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan adalah realistik dan mampu dilaksanakan sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan negeri.
Beliau berkata, antara tawaran utama BN ialah menyediakan 50,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Negeri Sembilan, selaras dengan aspirasi Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, kemampuan BN untuk merealisasikan tawaran berkenaan disokong pengalaman kepimpinan parti di peringkat Persekutuan dan negeri, selain jaringan kementerian yang diterajui pemimpin BN.
“Antara manifesto yang besar, kita bersungguh-sungguh untuk mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan seperti yang dikehendaki oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Kita yakin kita mampu laksanakan sekiranya diberi peluang dan mandat untuk membentuk kerajaan kerana kita mempunyai pimpinan yang sangat berpengalaman serta luas di peringkat Persekutuan mahupun negeri,” katanya.
Mohd Asna berkata, BN tidak mengemukakan janji yang tidak mampu ditunaikan, sebaliknya setiap tawaran yang diketengahkan dibuat berdasarkan kemampuan serta keupayaan untuk dilaksanakan.
“Kalau tidak realistik, kita tidak buat. UMNO-BN tidak menabur janji. Kita hanya memberikan sesuatu yang kita rasa kita mampu dan kita akan beri 200 peratus untuk menjayakannya,” katanya kepada UMNO Online.
Dalam pada itu, beliau turut yakin sokongan masyarakat India di DUN Lenggeng kekal bersama BN berdasarkan hubungan yang dibina sepanjang tempoh hampir tiga tahun berkhidmat dan turun padang bertemu masyarakat.
Katanya, beliau sentiasa berusaha membantu menyelesaikan pelbagai permasalahan rakyat termasuk berkaitan persekolahan anak-anak, kebajikan dan kesihatan.

“Alhamdulillah, saya memang sudah bekerja selama tiga tahun dan mereka sudah seperti keluarga saya. Mereka datang mengadu kepada saya apabila ada sebarang permasalahan seperti berkaitan persekolahan anak, kebajikan dan masalah kesihatan.
“Kadang-kadang mereka tidak minta banyak pun, mereka cuma perlukan bantuan untuk pergi ke klinik misalnya. Jadi, saya beranggapan bahawa inilah tempat mereka mengadu,” katanya.
Mohd Asna berkata, beliau turut bersedia menghadapi hari pengundian selepas gerak kerja di seluruh kawasan DUN Lenggeng dilaksanakan dengan amat baik sejak pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, sepanjang tempoh berkenaan beliau telah turun padang dan menemui hampir semua pimpinan masyarakat termasuk jawatankuasa masjid, surau serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT).
“Saya telah masuk semua lokaliti dan jumpa hampir semua pimpinan masyarakat. Jadi, saya rasa saya bersedia pada bila-bila masa sekiranya pengundian dilaksanakan.
“Saya yakin, insya-Allah dengan izin Allah, saya mampu menyumbangkan satu kerusi untuk membentuk kerajaan negeri,” katanya. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
