UMNO Beaufort Perkukuh Saf, Yakin Pertahan Kemenangan BN Pada PRU-16
BEAUFORT, 27 Julai – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat menyeru seluruh kepimpinan dan akar umbi parti agar terus memperkukuh perpaduan serta memperkemaskan gerak kerja sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) yang disifatkan semakin hampir.
Beliau berkata, setiap pertemuan dan mesyuarat UMNO Bahagian perlu dimanfaatkan sebagai medan memperkukuh kesatuan, mempererat ukhuwah serta menyemarakkan semangat perjuangan demi memastikan Barisan Nasional (BN) terus mendapat kepercayaan rakyat, khususnya di Parlimen Beaufort.

“Ayuh kita jadikan perjumpaan kita kali ini sebagai titik penyatuan, menyuburkan kekuatan untuk bangkit lebih kuat sebagai persediaan kita untuk mempertahankan Barisan Nasional di Parlimen Beaufort dalam PRU-16 yang sudah di ambang pintu,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Beaufort, pada Sabtu.
Mesyuarat tersebut menghimpunkan kepimpinan dan perwakilan daripada empat peringkat parti iaitu UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri yang berlangsung secara serentak, sekali gus mencerminkan kesepaduan seluruh keluarga besar UMNO Beaufort dalam memperkukuhkan organisasi parti.
Dalam hal ini Awang Aslee turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan bahagian, cawangan serta ahli-ahli parti yang terus istiqamah menggalas tanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing dalam memperkasakan UMNO di peringkat akar umbi.
Beliau menegaskan bahawa kekuatan parti tidak hanya bergantung kepada kepimpinan, sebaliknya lahir daripada kesatuan hati, semangat kerja berpasukan dan kesanggupan setiap ahli untuk terus mendekati rakyat tanpa mengenal penat lelah.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera agar memanfaatkan tempoh menjelang PRU-16 dengan memperkukuhkan cawangan, memperluaskan keahlian, memperkasakan jentera pilihan raya serta terus menyantuni rakyat melalui pelbagai program kemasyarakatan dan khidmat bakti.
Menurut beliau, UMNO Beaufort perlu sentiasa bersedia menghadapi sebarang cabaran politik dengan menampilkan sebuah organisasi yang bersatu, tersusun dan berdisiplin, selain terus mempertahankan rekod perkhidmatan BN yang telah banyak berjasa kepada rakyat di kawasan itu.
Mesyuarat yang berlangsung dalam suasana penuh semangat dan kekeluargaan itu turut menjadi platform memperbaharui iltizam seluruh kepimpinan dan ahli UMNO Beaufort untuk terus bergerak seiring, memperkukuhkan saf perjuangan serta memastikan Barisan Nasional kekal mempertahankan Parlimen Beaufort pada PRU-16 nanti. – UMNO Online
