UMNO Pendang Tekad Bangkit, Suraya Seru Perkukuh Parti Hadapi PRU-16

PENDANG, 27 Julai – UMNO Bahagian Pendang perlu terus memperkukuh gerak kerja di semua peringkat dengan memberi tumpuan kepada isu yang benar-benar membelenggu kehidupan rakyat, tegas Ketuanya, Datuk Suraya Yaakob.

Menurutnya, semangat kebangkitan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor barubaru ini perlu dijadikan inspirasi oleh seluruh jentera UMNO Pendang untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

“Gelombang biru bukan tuah, ia hasil kerja. Kalau Johor boleh, Kedah pun boleh asalkan kita mula bekerja dari sekarang.”

Berucap pada Mesyuarat UMNO Bahagian Pendang pada Jumaat, Suraya berkata fokus utama yang dibawanya adalah halatuju baharu UMNO Pendang ke arah menghadapi PRU-16 dengan memastikan parti di bahagian itu tampil lebih kuat, tersusun dan bersatu.

Menurut beliau, apa juga pendekatan atau dinamika baharu yang dibawa, matlamat utamanya tetap sama iaitu memastikan UMNO Pendang menjadi sebuah organisasi yang kukuh dan padu.

“Apa pun hala tuju yang kita pilih menuju PRU-16, perkara paling penting ialah UMNO Pendang mesti kuat dan padu. Kita perlu memimpin dan bukan dipimpin.”

Katanya, untuk mencapai matlamat itu, kekuatan parti mesti dibina bermula dari peringkat akar umbi melalui cawangan, Pusat Daerah Mengundi (PDM) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) yang mantap dan berfungsi secara aktif.

Sehubungan itu, beliau menggariskan beberapa sasaran gerak kerja kepada setiap sayap parti, termasuk Wanita UMNO yang diminta menggerakkan Program PR10, Puteri UMNO memperhebat usaha menambah keahlian serta memastikan setiap PDM mempunyai keanggotaan aktif tanpa perlu menambah cawangan baharu, manakala Pemuda UMNO disaran menambah sekurang-kurangnya 10 ahli baharu di setiap cawangan bagi memastikan kekuatan jentera pilihan raya terus diperkasakan.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap PDM perlu dihidupkan semula dengan mengaktifkan jawatankuasa masing-masing supaya segala gerak kerja dapat disusun lebih awal sebagai persediaan menghadapi PRU-16.

Suraya yang juga Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia mengingatkan bahawa kekuatan UMNO terletak pada kesatuan ahli dan keupayaan menyantuni rakyat secara konsisten, bukan hanya ketika musim pilihan raya.

Mengulas isu tempatan, Suraya membidas wakil rakyat Pendang yang gagal menangani pelbagai masalah asas rakyat termasuk krisis bekalan air yang berlarutan, kelewatan projek tebatan banjir serta tekanan kos sara hidup yang semakin menghimpit khususnya dalam kalangan pesawah dan golongan B40.

Beliau menegaskan rakyat sudah terlalu lama menunggu penyelesaian sebenar, namun yang sering berlaku hanyalah polemik politik yang tidak membawa sebarang manfaat kepada kehidupan mereka.

Menurut beliau, wakil rakyat seharusnya memberi tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawab membela nasib penduduk dan membawa suara mereka dengan penuh amanah, bukannya sibuk dengan kontroversi atau pertelingkahan yang tidak memberi nilai tambah kepada kawasan.

“Rakyat Pendang mahu benda asas seperti air bersih, jalan yang elok, harga barang yang lebih terkawal dan sawah yang terus subur. Mereka tidak perlukan drama politik atau wakil yang hanya pandai bergaduh.

“Sebab itu UMNO Pendang mesti menjadi kawan rakyat, sentiasa turun padang, mendengar masalah dan mencari penyelesaian. Keutamaan adalah demi rakyat sebagaimana yang sentiasa dilaksana UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO