Perpecahan, Fitnah Dan Kepentingan Diri Ancaman Sebenar UMNO – Haslinda Salleh

LABIS, 27 Julai – Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis, Haslinda Salleh menasihati seluruh perwakilan Mesyuarat UMNO Bahagian Labis supaya terus memperkukuhkan perpaduan serta mengetepikan segala perbezaan demi memastikan UMNO kekal menjadi wadah perjuangan yang terus diyakini rakyat.

Beliau yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang menegaskan, cabaran yang sedang dihadapi UMNO hari ini jauh lebih besar dan kompleks berbanding sebelumnya kerana ancaman sebenar bukan hanya datang daripada parti lawan, malah berpunca daripada kelemahan dalaman parti sendiri.

Menurut beliau, musuh paling berbahaya ialah perpecahan, budaya fitnah, sikap mementingkan diri sendiri serta rasa kecewa yang gagal diurus dengan matang sehingga akhirnya melemahkan kekuatan organisasi.

“Cabaran UMNO semakin besar. Musuh bukan sekadar hanya dari parti lawan tetapi musuh adalah perpecahan, musuh kita ialah fitnah, sikap mementingkan diri sendiri dan merasa kecewa yang tidak diurus dengan baik.

“Jika kita berpecah, tiada siapa yang akan menang. Tetapi jika kita bersatu, insya-Allah UMNO akan kembali lebih kuat daripada sebelumnya.

“Marilah kita berhenti mencari siapa yang paling hebat. Sebaliknya marilah menjadi satu pasukan yang saling melengkapi. Jangan biarkan perbezaan pendapat memutuskan silaturahim. Jangan kerana satu kerusi kita akan kehilangan seluruh perjuangan. Jangan kerana satu jawatan, sanggup menggadaikan masa depan generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Labis 2026 yang telah dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Labis merangkap ADUN Tenang, Datuk Mohd Azahar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Haslinda yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia menyeru seluruh perwakilan UMNO Bahagian Labis terus sentiasa berada di barisan hadapan dalam memperkukuh kekuatan UMNO, mendekati rakyat serta menjadi nadi kebajikan masyarakat tanpa mengira musim politik.

“Saya menyeru agar Wanita dan UMNO Bahagian sentiasa menguatkan parti serta mendekati rakyat, menyantuni masyarakat dan membantu golongan yang memerlukan. Jangan bekerja hanya ketika musim pilihan raya.

“Biarlah rakyat melihat bahawa UMNO sentiasa ada ketika mereka memerlukan. Kita bukan sekadar jentera pilihan raya, tetapi jentera kebajikan, jentera perpaduan dan jentera yang menyatukan hati rakyat,” katanya lagi.

Seterusnya kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, bahawa seluruh jentera parti perlu terus memberikan sokongan padu kepada kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di semua peringkat, khususnya Kerajaan BN Johor yang diterajui oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Marilah memberi sokongan penuh kepada kepimpinan parti di semua peringkat. Marilah mempertahankan kerajaan BN Johor yang diterajui oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi agar agenda pembangunan negeri dapat diteruskan demi kesejahteraan “Bangsa Johor”.

“Kestabilan yang dinikmati hari ini bukan hadir secara kebetulan. Ia lahir daripada perpaduan, kepercayaan dan kepimpinan yang berani membuat keputusan. Menjadi tanggungjawab semua untuk mempertahankan kestabilan itu,” jelasnya.

Haslinda turut mengajak seluruh perwakilan UMNO Bahagian Labis supaya mengetepikan segala sengketa lama, merapatkan saf perjuangan serta memperkukuhkan ukhuwah demi mengembalikan kekuatan parti.

“Bangkitlah dengan semangat yang baharu kerana rakyat sedang memerhati, anak-anak muda sedang menilai dan masa depan parti berada di tangan kita semua.

“Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Andai bersatu hati berganding untung, Insya-Allah… UMNO kembali bermartabat,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO