Tawaran 50,000 Peluang Pekerjaan Bukti Komitmen BN Bela Masa Depan Anak Muda
JEMPOL, 27 Julai – Manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan muda disifatkan sebagai antara tawaran paling signifikan dalam menjamin masa depan rakyat serta merancakkan pembangunan ekonomi negeri.
Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, daripada sembilan teras yang diumumkan Pengerusi BN Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, beliau melihat Teras Pertama sebagai antara inisiatif yang paling memberi manfaat kepada anak-anak muda.

Menurut beliau, komitmen untuk menyediakan 50,000 peluang pekerjaan serta 5,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi membuktikan kesungguhan BN dalam menyediakan masa depan yang lebih baik kepada generasi muda.
“Daripada sembilan teras manifesto yang diumumkan, perkara yang paling menarik perhatian saya ialah Teras Pertama. Sekiranya rakyat memberi mandat kepada Barisan Nasional untuk mentadbir Negeri Sembilan, kerajaan negeri mampu menawarkan 50,000 peluang pekerjaan kepada anak-anak muda termasuk 5,000 pekerjaan berpendapatan tinggi.
“Ini merupakan satu tawaran yang amat baik dan menjadi daya tarikan kepada golongan muda yang mahukan peluang pekerjaan berkualiti serta kehidupan yang lebih terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas Manifesto Barisan Nasional Negeri Sembilan yang dilancarkan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ini.

Sehubungan itu, Mohd Zaidy menyeru pengundi, khususnya golongan muda, agar membuat pertimbangan yang bijaksana pada hari pengundian dengan memilih calon dan parti yang mampu membawa kestabilan serta pembangunan kepada negeri.
“Kita perlu membuat pilihan yang tepat. Pilih calon yang benar-benar mampu menjaga kawasan dan parti yang mempunyai rekod mentadbir kerajaan dengan baik. Insya-Allah, jika Barisan Nasional diberi mandat, masa depan rakyat khususnya anak-anak muda akan lebih terjamin,” katanya.
Beliau turut mengajak pengundi yang berada di luar kawasan supaya pulang menunaikan tanggungjawab pada 1 Ogos depan bagi menentukan hala tuju Negeri Sembilan untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Saya menyeru seluruh pengundi, khususnya anak-anak muda yang berada di luar kawasan, agar pulang mengundi pada 1 Ogos nanti. Jangan sia-siakan hak anda. Gunakan undi dengan sebaiknya demi masa depan yang lebih cerah untuk diri, keluarga dan Negeri Sembilan.
“Insya-Allah, pilihlah Barisan Nasional demi sebuah kerajaan yang stabil, berpengalaman dan mampu membawa kemajuan kepada negeri ini,” katanya. – UMNO ONLINE
