Dasar Kos Sara Hidup Perlu Ambil Kira Realiti Sabah – Hasnol Ayub
SEMPORNA, 27 Julai – Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Mohd Hasnol Ayub menegaskan setiap dasar berkaitan kos sara hidup perlu mengambil kira realiti sebenar di Sabah agar pelaksanaannya tidak membebankan rakyat, khususnya mereka yang bergantung kepada penggunaan diesel dalam kehidupan seharian.
Menurut beliau, pelaksanaan sesuatu dasar di Sabah tidak boleh disamakan dengan Semenanjung kerana negeri itu mempunyai cabaran yang berbeza dari segi faktor geografi, keluasan kawasan serta jarak perjalanan yang jauh.

“Keadaan di Sabah tidak boleh disamakan dengan Semenanjung kerana faktor geografi, keluasan kawasan dan jarak perjalanan yang jauh menyebabkan keperluan penggunaan diesel di negeri ini mempunyai cabaran yang tersendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan UMNO Bahagian Semporna, pada Ahad dengan menyentuh berkaitan isu kos sara hidup yang semakin mencabar, termasuk berkaitan harga diesel dan pelaksanaan subsidi bersasar menerusi inisiatif BUDI Diesel.
Ujarnya, kerajaan perlu sentiasa melihat keadaan sebenar di lapangan supaya dasar yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan tidak menjejaskan golongan yang menggunakan kenderaan untuk mencari rezeki serta menjalankan aktiviti harian.

Pada masa yang sama, Mohd Hasnol menegaskan pemimpin perlu sentiasa mendengar denyut nadi rakyat, memahami keperluan mereka serta membawa suara dan permasalahan rakyat Sabah kepada pihak berkaitan agar setiap keputusan yang dibuat bersifat inklusif serta menepati keperluan setempat.
Beliau turut berharap Persidangan UMNO Bahagian Semporna menjadi platform terbaik untuk memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan ahli, menyusun gerak kerja parti dengan lebih tersusun serta memperbaharui tekad perjuangan dalam menghadapi cabaran politik semasa.
“Persidangan ini bukan sekadar memenuhi tuntutan organisasi, tetapi menjadi medan memperkukuh saf perjuangan dan memperkemaskan persediaan parti demi agama, bangsa serta negara,” katanya lagi. – UMNO Online
