UMNO Tolak Retorik, Tawar Penyelesaian Demi Masa Depan – Johari

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan bahawa UMNO perlu terus tampil sebagai sebuah parti yang menawarkan penyelesaian kepada masalah rakyat, bukannya sekadar bermain dengan retorik dan janji yang sukar ditunaikan.

Menurut beliau, kekuatan sebenar UMNO terletak pada nilai perjuangannya yang tidak pernah luntur meskipun parti itu pernah melalui pelbagai fasa kemenangan dan kekalahan dalam pilihan raya.

“Kalau UMNO sudah tiada nilai, orang Melayu tidak akan lagi bercakap tentang parti ini. Hakikatnya, walaupun kita pernah kalah, UMNO tetap menjadi sebutan kerana perjuangannya masih relevan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Bintang, pada Ahad.

Johari yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, kekalahan yang pernah dialami perlu dijadikan iktibar untuk memperbaiki kelemahan, bukannya alasan untuk berputus asa.

“Kita tidak pernah mengaku kalah. Kita muhasabah diri, mencari punca kekalahan dan memperbaiki apa yang perlu. Selagi masih ada pejuang yang ikhlas mempertahankan perjuangan UMNO, parti ini akan bangkit semula dengan lebih cemerlang,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa perjuangan UMNO sejak dahulu tidak pernah berubah, iaitu mempertahankan agama, bangsa dan negara, di samping memastikan masyarakat Melayu sebagai kaum majoriti terus mempunyai kekuatan politik yang dihormati tanpa mengabaikan kepentingan masyarakat pelbagai kaum.

Johari berkata, UMNO perlu melahirkan pemimpin yang berintegriti, kompeten serta mampu diterima dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa parti perlu mengutamakan isu-isu yang benar-benar dekat dengan kehidupan rakyat seperti pendidikan, kos sara hidup, perumahan dan pengangkutan awam.

“Kalau kita mahu rakyat kembali memberi keyakinan kepada UMNO, kita mesti bercakap tentang penyelesaian. Pendidikan anak-anak mesti menjadi keutamaan, kos sara hidup perlu ditangani, penyediaan rumah mampu milik perlu diperkasakan dan sistem pengangkutan awam yang baik mesti menjadi agenda penting.

“Kita jangan retorik. Jangan bercakap perkara yang kita sendiri tidak mampu laksanakan. Jangan membuat janji yang akhirnya tidak dapat ditunaikan kerana itulah yang akan merosakkan imej parti,” tegas beliau.

Tambah Johari, perbezaan pandangan dalam parti tidak seharusnya menjadi punca perpecahan, sebaliknya perlu dimanfaatkan sebagai kekuatan untuk membina UMNO yang lebih kukuh dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Beliau menyeru seluruh ahli agar terus mengikhlaskan perjuangan serta mengambil pengajaran daripada sejarah, dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

“Jika bukan kita yang menikmati kejayaan hari ini, insya-Allah hasil perjuangan yang ikhlas akan dinikmati oleh anak cucu kita pada masa hadapan. Yang penting, kita terus istiqamah membina parti dan berkhidmat kepada rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO