PRN NS: Jangan Terpedaya Naratif Palsu Parti Lawan – Adnan

KUALA PILAH, 27 Julai – Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hasan berharap rakyat tidak termakan dengan helah dibawa pihak lawan pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian berkata ini kerana dalam mengharungi tempoh berkempen pihak lawan akan menimbulkan isu-isu yang tidak berasas dan memainkan persepsi bagi mempengaruhi pengundi.

“Bagi saya, perkara seperti ini memang lumrah dalam setiap pilihan raya. Dalam beberapa pilihan raya sebelum ini pun keadaannya sama.

“Ada isu yang dicipta dan ada juga isu yang sememangnya berasas. Jika sesuatu isu itu benar-benar wujud, menjadi tanggungjawab kita untuk menanganinya dan menyelesaikan isu yang timbul.

“Namun, isu yang sengaja direka semata-mata untuk pilihan raya, akhirnya akan berlalu begitu sahaja. Saya yakin pengundi di Parlimen Kuala Pilah bijak dalam membuat pilihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Onlien ketika melakukan kempen menziarahi penduduk di Kampung Rembang Panas, baru-baru ini.

Mengulas lanjut Adnan berkata rakyat kini lebih mengutamakan sebuah kerajaan yang stabil bagi memastikan pentadbiran negeri dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.

Katanya pengundi akan menilai rekod pencapaian sesebuah kerajaan, selain memilih barisan kepimpinan yang mampu mentadbir negeri dengan baik.

“Sudah tentu rekod pencapaian kita akan dilihat dan dinilai oleh pengundi, saya melihat ketika ini gelombang sokongan semakin memihak kepada BN.

“Ke mana sahaja kita pergi, kita boleh bertanya sendiri kepada rakyat tentang kerajaan seperti mana yang mahu kerana mereka juga melihat apa yang berlaku di peringkat Persekutuan dan negeri.

“Ada Menteri Besar yang tidak kompeten dalam menjalankan tanggungjawab, namun BN yang dipanggil sebagai pengkhianat.

“Hakikatnya, semasa BN mentadbir negeri sebelum ini tiada (ketahuan) isu yang melibatkan hubungan dengan institusi Diraja. Isu ada, tetapi ia berjaya dikendalikan dengan baik oleh Menteri Besar ketika itu sehingga tidak berlarutan menjadi polemik,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO