Respon Pengundi Beri Isyarat Positif
 Kepada BN – Saiful Yazan

KUALA PILAH, 27 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman berkata kempen yang dijalankan kini memberi tumpuan kepada program ziarah dari rumah ke rumah bagi mendekati pengundi secara lebih dekat.

Menurut beliau, pada sebelah pagi pihaknya telah menziarahi kira-kira 16 rumah di Kampung Kepis Baru sebelum meneruskan program di Rumah Rakyat Johol pada sebelah petang yang melibatkan hampir keseluruhan kediaman di kawasan tersebut.

“Alhamdulillah, sepanjang kempen ini saya melihat sambutan yang amat baik daripada masyarakat.

“Sebelum ini saya juga telah turun menyantuni mereka, jadi apabila kita datang semula ketika kempen, mereka memberikan reaksi yang sangat positif terhadap gerak kerja yang kita laksanakan,” katanya.

Saiful berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas ziarah kasih Rumah Rakyat Pekan Johol bersama jentera baru-baru ini.

Sementara itu beliau turut menyifatkan ‘mood’ pengundi pada ketika ini menyebelahi BN berdasarkan situasi politik negara.

Menurut Saiful maklum balas yang diterima daripada pengundi lebih banyak tertumpu kepada harapan agar agenda pembangunan serta kebajikan rakyat terus diberi keutamaan, khususnya melibatkan penyediaan kemudahan asas.

“Walaupun begitu, kita teruskan gerak kerja dan apa yang saya lihat, mereka masih mahu memberikan sokongan kepada BN. Mereka juga memahami keadaan politik semasa negara dan melihat kepentingan untuk terus menyokong BN.

“Sebahagian besar maklum balas yang diterima lebih tertumpu kepada keperluan menaik taraf infrastruktur. Kebanyakan jalan di kawasan yang saya lawati telah menerima peruntukan seperti kerja menurap jalan dan membaiki longkang, namun masih terdapat beberapa lokasi yang belum sempat dilaksanakan kerana tempoh yang singkat.

“Saya memberi jaminan bahawa usaha mempertingkatkan kemudahan asas termasuk bekalan air akan diteruskan sekiranya diberi mandat,” katanya.

Mengulas kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN), beliau menyifatkan kerjasama tersebut memberikan perkembangan yang positif di kawasan berkenaan.

“Pengundi di kawasan ini tidak begitu ramai dan kebanyakannya tinggal dalam komuniti yang sama. Apabila wujud kerjasama antara BN dan PN kita melihat penerimaan yang baik daripada akar umbi.

“Mereka mula membantu dalam kempen dan hadir ke bilik-bilik gerakan bagi memperkukuhkan jentera di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM),” katanya.

Untuk rekod, Saiful Yazan pada PRN ke-16 ini berhadapan saingan dua penjuru dengan calon Pakatan Harapan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada esok 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO