PRN NS: Pilih Berdasarkan Trek Rekod, Pengalaman

SEREMBAN, 26 Julai – Pengundi di Negeri Sembilan diseru membuat pilihan berdasarkan rekod dan pengalaman parti dalam mentadbir negeri serta negara untuk memastikan kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) mampu berfungsi dengan kukuh dan stabil.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan yang dibuat pada pilihan raya akan menentukan hala tuju pentadbiran negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

Menurut beliau, pengalaman yang dimiliki sesebuah parti dalam menguruskan kerajaan perlu menjadi antara pertimbangan utama pengundi ketika menentukan pilihan pada PRN kali ini.

“Pilihlah parti yang tuan-tuan yakin mempunyai rekod dan pengalaman mengurus negeri dan negara.

“Jadi, berikanlah kepada parti yang telah lama mempunyai pengalaman… telah lama mengurus negara dan juga negeri, supaya kami kembali semula untuk mengurus Negeri Sembilan dengan sebaik mungkin, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di program perjumpaan bersama pusat daerah mengundi (PDM) Kuala Sawah sempena kempen PRN Negeri Sembilan, di sini pada Sabtu.

Ujarnya, kestabilan kerajaan amat penting untuk memastikan urusan pentadbiran negeri dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, kalau kerajaan ini merupakan kerajaan campuran, apabila melibatkan dua parti berbeza, masing-masing mempunyai fahaman yang berbeza, susah.

“Kita ada falsafah kita, dia ada falsafah dia. Dia ada kepentingan dia, kita menjaga kepentingan kita. Jadi susah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengundi supaya tidak mengambil mudah keputusan yang dibuat pada pilihan raya kerana ia akan memberi kesan kepada rakyat sepanjang tempoh lima tahun pentadbiran kerajaan.

“Tak usahlah kita main cuba-cuba. Dalam pilihan raya ini, bukan macam memilih Akademi Fantasia, tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

“Memilih kerajaan ini, kita akan menerima apa sahaja akibat daripada kesilapan kita memilih untuk tempoh lima tahun nanti,” katanya.

Beliau turut mengajak rakyat Negeri Sembilan mengambil pengajaran daripada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan ke-15 dengan memastikan kerajaan yang dipilih selepas PRN kali ini mempunyai kekuatan untuk mentadbir negeri dengan baik.

Beliau berkata, pengalaman lalu menunjukkan pentingnya rakyat membuat pertimbangan yang matang dalam memilih kerajaan, khususnya untuk memastikan pentadbiran negeri berada dalam keadaan stabil.

“Walaupun kita kalah pada 2018 dan saya tidak menjadi Menteri Besar lagi, saya tidak pernah mengabaikan Rantau ini.

“Orang susah atau apa sahaja keadaan mereka, saya sentiasa memberikan bantuan. Tidak pernah saya menghampakan permohonan,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO