Kerajaan Stabil Penting Tarik Pelaburan, Pacu Ekonomi Negeri – Mohamad Hasan

REMBAU, 25 Julai – Rakyat Negeri Sembilan perlu memilih sebuah kerajaan yang kuat dan stabil bagi meningkatkan keyakinan pelabur serta memastikan ekonomi negeri terus berkembang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kestabilan politik menjadi antara pertimbangan utama pelabur sebelum membuat keputusan untuk melabur di sesebuah negeri atau negara.

Menurutnya, pelabur mahu memastikan pelaburan mereka selamat dan mampu memberikan pulangan, selain tidak berdepan ketidaktentuan akibat perubahan kerajaan.

“Tak ada siapa yang akan membawa pelaburan ke negara ataupun negeri yang tidak ada kestabilan.

“Orang bila melabur di tempat-tempat di luar negara, mereka nak tahu satu, pelaburan dia selamat. Dia nak lihat supaya pelaburan itu mendatangkan hasil keuntungan. Tak ada siapa yang akan membawa pelaburan ke negara ataupun negeri yang tidak ada kestabilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Perjumpaan bersama Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kuala Sawah di Rantau, di sini, hari ini.

Mohamad yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berkata, pengundi tidak seharusnya memilih kerajaan secara cuba-cuba kerana kesannya akan ditanggung rakyat sepanjang tempoh lima tahun.

“Tak usah kita main cuba-cuba dalam pilihan raya ni. Memilih kerajaan ni, dia akan lima tahun nanti yang kita akan menerima apa sahaja akibat daripada salah kita pilih,” katanya.

Mohamad turut menjadikan Johor sebagai contoh bagaimana kestabilan politik mampu meningkatkan keyakinan pelabur apabila negeri itu menerima pelaburan baharu berjumlah RM110 bilion selepas BN memperoleh mandat besar untuk membentuk kerajaan.

Katanya, sebelum itu kedudukan Johor dari segi pelaburan merosot selepas berlaku pertukaran kerajaan, namun kembali meningkat apabila kerajaan yang stabil dibentuk semula.

Sehubungan itu, beliau meminta pengundi memilih parti yang mempunyai rekod serta pengalaman mentadbir negeri dan negara bagi memastikan Negeri Sembilan mempunyai kerajaan yang kukuh dan diyakini pelabur. – buletintv3

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO