Manifesto BN: Nasib Peniaga Kecil, Nelayan Akan Terus Dibela – Mohd Faizal

PORT DICKSON, 26 Julai – Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang memberi perhatian kepada peniaga kecil serta golongan nelayan, petani, penternak dan pekebun kecil disifatkan dekat dengan keperluan rakyat, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi.

Calon BN bagi kerusi DUN Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli berkata, usaha memberikan ruang kepada peniaga kecil untuk menjalankan perniagaan di lokasi yang sesuai dan selamat mampu membantu golongan berkenaan menambah pendapatan, selain merancakkan ekonomi setempat.

Beliau berkata, Port Dickson yang merupakan antara pusat pelancongan utama di Negeri Sembilan turut menyaksikan kehadiran ramai pelancong dan pengunjung yang boleh menjadi sumber rezeki kepada peniaga kecil.

“Saya lihat ramai peniaga kecil ini cuba untuk menambah pendapatan mereka dengan kehadiran pelancong dan juga pengunjung.

“Kerajaan negeri ataupun kerajaan BN akan datang bakal memberi kebenaran kepada mereka untuk berniaga, namun perlu mengenal pasti lokasi yang sesuai dan selamat kepada semua,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut beliau, kebanyakan peniaga kecil terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan perniagaan yang dijalankan secara kecil-kecilan itu lazimnya bertujuan menambah pendapatan keluarga.

“Saya memang membesar di Port Dickson dan selalu bergaul dengan mereka. Apabila ada larangan yang tidak membenarkan mereka berniaga, memang ada kekecewaan.

“Kebanyakan mereka adalah golongan B40 dan perniagaan yang dijalankan adalah kecil-kecilan, sekadar untuk menambah pendapatan. Apabila ada pendapatan tambahan, mereka juga boleh berbelanja dan ini secara tidak langsung dapat merancakkan ekonomi negeri kita,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Faizal turut menyambut baik perhatian BN terhadap golongan penternak, petani, nelayan dan pekebun kecil yang menurutnya turut berdepan cabaran peningkatan kos sara hidup serta harga minyak.

Beliau berkata, isu nelayan tidak berlesen khususnya perlu diberi perhatian kerana terdapat golongan yang mewarisi pekerjaan tersebut secara turun-temurun, namun tidak lagi layak mendapatkan lesen nelayan selepas mempunyai pekerjaan lain.

“Jiwa mereka adalah jiwa laut, jiwa sungai yang ingin mencari ikan untuk makan sendiri. Kalau ada lebihan, ia menjadi pendapatan kepada mereka.

“Namun apabila tidak ada lesen, mereka sentiasa risau akan ditangkap, peralatan dirampas dan dikenakan denda. Mereka selalu menyuarakan kepada saya supaya sekurang-kurangnya diberikan lesen terhad.

“Mereka bukannya mahukan subsidi atau sara hidup, tetapi sekurang-kurangnya ada lesen terhad yang membolehkan mereka ke laut untuk menangkap ikan,” katanya.

Tambah beliau, selain isu peniaga kecil dan golongan nelayan, aspek pendidikan, peluang pekerjaan serta perumahan yang turut diberi perhatian dalam manifesto BN merupakan antara intipati penting yang mampu memberi manfaat kepada rakyat Negeri Sembilan. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO