Beza Pandangan Demi Kebaikan Parti, Selesai Persidangan Kembali Bersatu

TANJONG MALIM, 26 Julai – Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjong Malim, Salina Samsudin menegaskan perbezaan pandangan dan perbahasan yang berlaku sepanjang Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Malim 2026 merupakan suatu proses yang sihat dalam usaha memperkukuhkan parti.

Beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Perak berkata, setiap pandangan, teguran serta cadangan yang dibangkitkan oleh para perwakilan perlu dilihat sebagai usaha membina demi memastikan UMNO terus relevan dan mendapat kepercayaan rakyat.

“Di dalam dewan kita boleh berbahas, berbeza pandangan dan memberi teguran. Itu lumrah dalam sebuah keluarga besar.

“Namun yang paling penting, apabila selesai persidangan, kita kembali berdiri dalam satu saf dengan tekad memperkukuhkan parti serta meneruskan khidmat kepada rakyat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang itu.

Menurut beliau, semangat kebersamaan dan kesatuan perlu sentiasa menjadi keutamaan kerana kekuatan UMNO terletak pada kesediaan seluruh ahlinya untuk mengetepikan perbezaan demi perjuangan yang lebih besar.

Salina turut merakamkan penghargaan kepada seluruh perwakilan, khususnya keluarga besar Wanita UMNO Bahagian Tanjong Malim yang sentiasa komited membawa suara dan aspirasi akar umbi daripada cawangan masing-masing.

Dalam masa sama, beliau mengucapkan tahniah kepada tujuh orang perwakilan (G7) yang diberikan mandat mewakili UMNO Bahagian Tanjong Malim ke Perhimpunan Agung UMNO, sambil berharap mereka dapat menggalas amanah dengan sebaik-baiknya serta membawa suara akar umbi ke pentas tertinggi parti.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa pelaksana, urus setia dan semua pihak yang bertungkus-lumus memastikan perjalanan mesyuarat berlangsung dengan lancar.

Salina seterusnya mengingatkan bahawa selesai persidangan bukan bererti perjuangan berakhir, sebaliknya seluruh jentera parti perlu kembali mendekati rakyat, mendengar denyut nadi masyarakat dan terus berkhidmat demi memperkukuhkan keyakinan terhadap UMNO.

“Marilah kita terus menjaga rumah kita, memperkukuhkan saf perjuangan dan bergerak seiring dengan semangat Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO