PRN Negeri Sembilan: Manifesto BN Adalah Tawaran Praktikal – Ahmad Zahid
KUALA PILAH, 25 Julai – Manifesto Barisan nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang dilancarkan semalam adalah tawaran praktikal dan mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, manifesto yang dilancarkan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan itu adalah kesinambungan pelbagai program pembangunan pernah dirancang, namun tidak dapat diteruskan selepas BN kehilangan kuasa mentadbir negeri.

Menurutnya, asas kepada pelaksanaan program berkenaan sudah tersedia dan hanya memerlukan mandat rakyat untuk diteruskan.
“Manifestonya cukup baik. Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) sebagai Pengerusi BN Negeri Sembilan sendiri menyebutkan dan menggariskan ia merupakan satu kesinambungan program lalu.
“Saya fikir tawaran dalam manifesto BN itu adalah praktikal dan terbaik kerana asasnya telah ada, serta ia merupakan sesuatu yang boleh dilaksanakan,” katanya selepas merasmikan Program Salam Agrikomoditi MADANI di Dataran Melang, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad; Timbalan Speaker Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, manifesto berkenaan dirangka berdasarkan keperluan sebenar rakyat dan mampu dilaksanakan sekiranya BN kembali mentadbir Negeri Sembilan.
“Selama dua penggal, pelaksanaannya terganggu dan tergendala kerana BN tidak mempunyai kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.
“Jadi, hasrat beliau (Datuk Seri Mohamad Hasan), siapa pun yang akan mengetuai Negeri Sembilan harus mengambil kira apa yang dihamparkan oleh beliau dalam manifesto BN.” katanya.
Beliau juga yakin Negeri Sembilan mampu mencapai pertumbuhan ekonomi yang berada melebihi purata pertumbuhan ekonomi negara sekiranya manifesto itu dapat dilaksanakan.
Semalam, BN melancarkan manifesto mereka untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang menggariskan 88 usaha berpandukan sembilan teras utama.
Manifesto itu turut ditambah dengan 15 Inisiatif Skim Salam Sejahtera, selain penubuhan satu Unit Penyelarasan Pemantauan Pelaksanaan Manifesto jika BN diberi mandat pada PRN yang dijadual 1 Ogos ini.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid menegaskan, tiada sebab untuk pengundi bukan Melayu berasa bimbang dengan apa yang digelar sebagai ‘Gelombang Biru’ pada PRN kali ini.
Katanya, BN kekal sebagai gabungan pelbagai kaum yang dianggotai parti mewakili pelbagai masyarakat, sekali gus tidak menimbulkan ancaman kepada mana-mana komuniti.
“Biru ini ialah gelombang Barisan Nasional. Dalam BN ada parti Cina dan parti India. Tidak seharusnya orang Cina, India, Orang Asli atau pengundi dari Sabah dan Sarawak yang berada di Negeri Sembilan berasa ragu atau resah. Saya berpendapat perkara itu tidak timbul,” katanya. – buletintv3
