Mesyuarat Perwakilan: UMNO Permatang Pauh Perkukuh Semangat Perjuangan

PERMATANG PAUH, 25 Julai – Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Permatang Pauh terus menjadi wadah penting dalam memperkukuh semangat perjuangan, mempererat hubungan silaturahim serta memantapkan kesatuan seluruh warga UMNO bagi menghadapi cabaran politik semasa.

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, kekuatan parti bergantung kepada kesepaduan dan iltizam setiap ahli untuk terus mempertahankan perjuangan UMNO demi agama, bangsa dan tanah air.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Permatang Pauh yang berlangsung di Paddy Pavillion dengan kehadiran perwakilan, kepimpinan bahagian serta ahli-ahli UMNO dari seluruh bahagian.

Menurut beliau, mesyuarat tahunan bukan sekadar memenuhi tuntutan perlembagaan parti, malah menjadi platform terbaik untuk memperkukuhkan saf kepimpinan, menyatukan fikrah serta memperbaharui tekad dalam memastikan UMNO terus relevan dan mendapat kepercayaan rakyat.

Pada majlis sama, turut diadakan Penyampaian Anugerah ‘Jasamu Dikenang’sebagai simbol penghargaan kepada para veteran UMNO yang telah mencurahkan jasa, pengorbanan dan sumbangan besar dalam memperkukuhkan parti sejak sekian lama.

Beliau menegaskan bahawa pengiktirafan tersebut membuktikan UMNO tidak pernah melupakan jasa pejuang terdahulu yang menjadi asas kepada kekuatan parti sehingga hari ini.

“Jasamu dikenang, baktimu disanjung. Semangat perjuangan yang ditinggalkan para veteran ini perlu diteruskan oleh generasi baharu agar UMNO kekal menjadi wadah perjuangan yang membela rakyat serta mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan negara,” katanya.

Mesyuarat itu turut berlangsung dalam suasana penuh semangat dan muafakat, mencerminkan komitmen seluruh warga UMNO Bahagian Permatang Pauh untuk terus bersatu, setia dan berkhidmat demi memastikan parti kekal kukuh serta bersedia menghadapi cabaran politik pada masa hadapan.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO