Pertahan Perpaduan, Jangan Main Sentimen Kaum – Azalina

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan bahawa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan perlu berteraskan semangat perpaduan dan keharmonian, bukannya memainkan sentimen yang boleh memecah-belahkan rakyat demi meraih sokongan politik.

Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) sejak penubuhannya dibina atas kesepakatan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan latar belakang menerusi kerjasama UMNO, MCA, MIC serta parti-parti komponen lain, sekali gus membuktikan kestabilan negara lahir daripada persefahaman dan rundingan, bukannya politik kebencian.

“BN mempertahankan kepentingan masyarakat Melayu dan Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa menafikan hak, maruah serta kedudukan sah mana-mana warganegara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyebut “Cina ada China, India ada India, Kemboja ada Kemboja, Melayu hanya ada Malaysia”, Azalina berkata kenyataan sedemikian tidak boleh dipandang ringan kerana memberi gambaran seolah-olah rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India mempunyai tanah air lain, sedangkan Malaysia adalah tanah air mereka.

Menurut beliau, Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu serta hak orang Melayu dan Bumiputera, namun pada masa yang sama turut menjamin hak serta kedudukan sah setiap warganegara tanpa mengira keturunan.

“Setiap warganegara yang sah mempunyai tanah air yang sama, dilindungi oleh Perlembagaan yang sama dan berhak menjalani kehidupan dengan aman serta bermaruah,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan semua pemimpin dan jentera politik agar bertanggungjawab terhadap setiap kenyataan yang dikeluarkan sepanjang tempoh berkempen, khususnya melibatkan isu kaum, agama dan institusi diraja yang tidak seharusnya dijadikan alat untuk membangkitkan kemarahan atau ketakutan.

Dalam pada itu, Azalina yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi berkata rakyat Negeri Sembilan berhak menikmati kempen yang memberi tumpuan kepada isu-isu yang benar-benar menyentuh kehidupan mereka seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan, pendidikan, kesihatan, pembangunan setempat serta masa depan anak-anak.

Beliau menegaskan bahawa BN tidak memerlukan politik yang menakut-nakutkan rakyat untuk memperoleh sokongan, sebaliknya menawarkan kestabilan, pengalaman, kesederhanaan serta sebuah negara yang memberikan tempat kepada setiap warganegara.

“Barisan Nasional ialah rumah bersama seluruh rakyat Malaysia. Kita tidak akan membenarkan sesiapa merobohkan rumah ini demi keuntungan politik sementara,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO