Chennah Perlukan ADUN Sentiasa Turun Padang, Mudah Ditemui – Calon BN
JELEBU, 25 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, Siow Kong Choon menegaskan kawasan itu memerlukan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tempatan yang sentiasa turun padang, mudah ditemui dan memberi perhatian sepenuhnya terhadap kebajikan rakyat.
Menurut beliau, walaupun Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias daripada BN telah bekerja keras menjaga kepentingan seluruh masyarakat di kawasan Parlimen Jelebu, namun tanggungjawab yang begitu luas memerlukan kerjasama seorang wakil rakyat daripada parti yang sama di peringkat DUN yang benar-benar fokus kepada keperluan penduduk Chennah.

“Di Daerah Jelebu ini kami amat bertuah. Kami mempunyai seorang Ahli Parlimen, Yang Berhormat Datuk Jalaluddin Alias, yang memang bekerja keras untuk menjaga setiap lapisan masyarakat di Jelebu.
“Tetapi kita tahu urusan Parlimen, Ahli Parlimen nak jaga semua tempat itu bukan mudah dan tidak cukup hanya usaha Ahli Parlimen sahaja. Maka itu, DUN Chennah juga memerlukan seorang ADUN tempatan, yang betul-betul dapat memberikan perhatian sepenuhnya kepada kawasan DUN Chennah ini.
“Kita memerlukan seorang ADUN tempatan yang mudah ditemui, yang mudah dihubungi, malah sentiasa sedia turun padang apabila rakyatnya menghadapi masalah,” katanya.
Siow yang juga dikenali sebagai John Siow berkata demikian dalam program Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Tohor, di sini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Ramli Mohd Nor dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan juga Jalaluddin yang juga merupakan calon BN bagi DUN Pertang.
Tambah John Siow, segala perancangan untuk membangunkan kawasan itu hanya dapat direalisasikan sekiranya BN terus diberikan mandat mentadbir Negeri Sembilan.
Justeru, beliau menyeru seluruh pengundi, khususnya masyarakat Orang Asli di DUN Chennah, supaya keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian bagi memastikan kemenangan BN.
“Semua ini tidak akan menjadi kenyataan sekiranya tanpa sokongan, dorongan, dan bantuan daripada anda semua. Maka itu sekali lagi, saya ingin memohon bantuan, sokongan daripada anda semua supaya 1 haribulan Ogos nanti, rakan-rakan kita di kawasan kampung Orang Asli DUN Chennah dapat keluar ramai-ramai dan mengundi, memberi sokongan kepada Barisan Nasional.
“Supaya selepas 1 haribulan nanti, kita dapat sama-sama menubuhkan kerajaan negeri yang lebih stabil, yang lebih mantap, yang lebih kukuh, yang mampu membawa Chennah ke arah masa depan yang lebih baik,” katanya. – UMNO ONLINE
