PH Fitnah Kononnya BN Akan Rampas Tanah Orang Asli Jika Menang PRN – Jalaluddin

JELEBU, 25 Julai – Pakatan Harapan (PH) menggunakan politik fitnah dan menakut-nakutkan masyarakat Orang Asli di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah dengan menyebarkan dakwaan tidak benar kononnya Barisan Nasional (BN) akan merampas tanah serta menarik semula kemudahan yang dinikmati penduduk sekiranya BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ini.

Ahli Parlimen Jelebu Datuk Jalaluddin Alias berkata, tuduhan tersebut sama sekali tidak berasas kerana rekod BN membuktikan kerajaan sentiasa mempertahankan kebajikan serta hak masyarakat Orang Asli.

Menurutnya, pihak PH mendakwa jika BN menang di DUN Chennah, tanah masyarakat Orang Asli akan dirampas semula dan bas sekolah yang digunakan untuk menghantar anak-anak ke sekolah turut akan ditarik balik.

“Pakatan Harapan ugut masyarakat Orang Asli di Chennah. Dibawa macam-macam cerita fitnah. Inilah budaya yang dibawa oleh pimpinan daripada Pakatan Harapan.

“Dia kata kalau BN menang di DUN Chennah ini, habis tanah-tanah Orang Asli kita akan rampas balik. Dia kata apabila kalau BN menang, habis bas-bas sekolah yang hantar anak-anak dirampas balik,” dedahnya.

Jalaluddin yang juga calon BN dan penyandang bagi kerusi DUN Pertang berkata demikian dalam program Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Tohor, di sini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Ramli Mohd Nor dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Jelas Jalaluddin, sepanjang menjadi wakil rakyat dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan, beliau bersama rakan-rakan dalam UMNO dan BN telah memperjuangkan pewartaan tanah penempatan masyarakat Orang Asli di seluruh Negeri Sembilan sejak tahun 2013.

Katanya, daripada keseluruhan 69 kampung masyarakat Orang Asli di negeri itu, sebanyak 58 kampung telah berjaya diwartakan sebagai kawasan penempatan, termasuk di DUN Chennah.

Malah beliau memberi jaminan bahawa agenda memperkasakan hak masyarakat Orang Asli akan diteruskan sekiranya BN diberi mandat sekali lagi.

“Hala tuju saya selepas ini kalau Chennah BN menang, kalau Barisan Nasional menang di Negeri Sembilan, antara keutamaan saya ialah untuk mengusahakan supaya mewartakan kawasan pertanian masyarakat Orang Asli,” katanya.

Dalam masa yang sama, Jalaluddin turut merakamkan penghargaan kepada Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah atas sokongan yang diberikan dalam membawa pelbagai peruntukan pembangunan ke kawasan Parlimen Jelebu.

Beliau berkata, melalui peruntukan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, jutaan ringgit telah disalurkan bagi membina rumah baharu, membaiki kediaman penduduk serta melaksanakan pelbagai projek pembangunan termasuk di kawasan DUN Chennah.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi memberikan sokongan kepada calon BN DUN Chennah, John Siow Kong Choon, yang disifatkan sebagai anak tempatan dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Saya yakin John Siow boleh memberikan khidmat yang terbaik. Kita bergerak sebagai satu pasukan Barisan Nasional untuk terus berbakti dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua masyarakat pada penggal-penggal akan datang, insya-Allah,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO