PRN NS: Calon Linggi Optimis Pertahan Kerusi, Terus Dapat Sokongan Rakyat

PORT DICKSON, 25 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli yakin sokongan berterusan rakyat di kawasan berkenaan mampu membantu beliau mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Ujarnya, selain respons positif yang diterima sepanjang tempoh berkempen, kesetiaan rakyat di kawasan tersebut turut mencambahkan keyakinan beliau mempertahankan kerusi itu.

“Ketika ini kita ada program sembang santai dengan anak muda dan orang kampung. Ini adalah satu program yang baik, memang merapatkan jurang antara pemimpin dan juga masyarakat… antara saya sendiri selaku calon dengan masyarakat dan juga pengundi.

“Saya yakin bahawa mereka ini akan terus kekal setia bersama saya, bukan sahaja pada 1 Ogos tetapi sampai bila-bila Insya-Allah. Saya tahu kesetiaan mereka ini tak berbelah bahagi. Walau ribut datang melanda pun, mereka tetap akan sokong kita pada 1 Ogos nanti.

“Walaupun baru dua tahun lapan bulan dipilih sebagai wakil rakyat di kawasan DUN Linggi ini, hubungan saya dengan mereka sebenarnya sebelum itu lagi. Bukan hanya bila tiba pilihan raya baru saya nak dekat dengan mereka saya sejak saya aktif dalam politik selaku Ketua Pemuda Bahagian, sekarang ni dah jadi Ketua Bahagian.

“Jadi memang saya sentiasa bersama dengan mereka. Malah kalau nak ikutkan sejarah saya membesar, tinggal di kawasan sini, Pasir Panjang, bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pasir Panjang. Saya tahu setiap kawasan dan saya menjiwai apa jua keadaan mereka,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar para pengundi di DUN Linggi akan menilai dengan bijak dan memilih pemimpin terbaik untuk mentadbir kawasan tersebut.

“Pesanan kepada para pengundi, kita harus bersedia dan seperti biasa hari pengundian kena bawa kad pengenalan, kita keluar seawal yang boleh. Walaupun kita jangkakan mungkin berlaku kesesakan di waktu pagi, tetapi apa pun berlaku sebaiknya keluar awal dan jalankan tanggungjawab.

“Saya juga berharap supaya pengundi-pengundi di DUN Linggi akan menilai dengan bijak dan juga memilih yang mereka fikir layak dan boleh mentadbir serta menjaga soal kebajikan mereka,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos, selepas DUN dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO