Bekalan Air Jadi Keutamaan, Jeffery Turun Padang ke Pulau Gaya
PUTATAN, 24 Julai – Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed, hari ini turun padang ke Kampung Pondo, Pulau Gaya bagi meninjau keadaan sebuah perigi yang rosak dan memerlukan pembaikan segera demi memastikan penduduk terus mendapat bekalan air.
Menurut beliau, walaupun kampung tersebut bukan berada dalam kategori kampung rizab, faktor kemanusiaan menjadi keutamaan untuk beliau tampil menghulurkan bantuan mengikut kemampuan.
“Sumber air terawat merupakan antara masalah utama yang dihadapi penduduk di Pulau Gaya. Sebahagian besar penduduk masih terpaksa membeli bekalan air dari tanah besar. Perigi yang rosak ini pula menjadi salah satu sumber utama air kepada majoriti penduduk Kampung Pondo. Semoga usaha kecil ini pada hari Jumaat yang penuh keberkatan menjadi amal kebajikan yang memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk kampung yang menerima sumbangan bagi kerja-kerja membaiki perigi tersebut, sekali gus berharap ia dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung masyarakat setempat.
Dalam perkembangan berkaitan, Jeffery turut memaklumkan bahawa tiga tangki simpanan air baharu berkapasiti 30,000 liter telah siap dipasang di Taman PPR Keramat bagi menggantikan tangki lama yang hanya mampu menyimpan 10,000 liter air terawat.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) atas peruntukan yang disalurkan, selain mengucapkan terima kasih kepada kontraktor yang dilantik oleh Pejabat Daerah Putatan kerana berjaya menyiapkan projek tersebut.
Pada masa sama, beliau berharap Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dapat meningkatkan penyaluran bekalan air terawat ke tangki berkenaan supaya simpanan air dapat dipertingkatkan, memandangkan jumlah penduduk di Taman PPR Keramat dianggarkan hampir 4,000 orang.
“Walaupun kapasiti tangki baharu ini masih belum mampu menyediakan bekalan air secara berterusan selama 24 jam kepada setiap unit rumah, sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan tempoh gangguan bekalan air yang sering dihadapi penduduk,” katanya.
Jeffery menegaskan beliau akan terus komited memperjuangkan isu-isu yang dihadapi rakyat Putatan, khususnya berkaitan kemudahan asas dan kebajikan penduduk, agar mendapat perhatian pihak berkaitan demi kesejahteraan masyarakat. – UMNO Online
