Warga Perantau N9 Terhimpit: Kuota BUDI95 Habis, Tol Pula Menekan

SEREMBAN, 24 Julai – Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar, mendakwa skim BUDI95 dengan kuota subsidi 200 liter sebulan gagal memenuhi keperluan ramai warga Negeri Sembilan yang berulang-alik ke Kuala Lumpur setiap hari untuk bekerja.

Menurut beliau, sepanjang turun padang berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sembilan, antara rungutan paling kerap diterima ialah kuota 200 liter yang disifatkan tidak mencukupi bagi pekerja yang tinggal di kawasan seperti Nilai, Seremban dan Paroi tetapi mencari rezeki di ibu negara.

“Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, mereka bukan memandu untuk berseronok, tetapi keluar mencari rezeki yang halal. Malangnya, apabila kuota subsidi habis, mereka terpaksa membeli petrol pada harga tanpa subsidi yang jauh lebih mahal,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal ini.

Beliau memberi contoh pengiraan mudah bagi seorang pekerja yang menggunakan kira-kira 12 liter petrol sehari untuk perjalanan pergi dan balik kerja. Dalam tempoh 22 hari bekerja, penggunaan mencecah sekitar 264 liter, iaitu melebihi kuota BUDI95 sebanyak 64 liter.

Jika baki 64 liter itu dibeli pada harga tanpa subsidi RM3.62 seliter, pengguna terpaksa menanggung tambahan sekitar RM232 sebulan.

Katanya, beban itu menjadi lebih berat apabila dicampur kos tol yang masih perlu dibayar setiap hari. Dengan kadar tol RM6.50 sehala, perbelanjaan tol bagi perjalanan ulang-alik selama 22 hari bekerja dianggarkan mencecah RM286 sebulan.

“Ini bermakna seorang warga perantau boleh menanggung tambahan sekitar RM518 sebulan hanya kerana kuota BUDI95 tidak mencukupi dan tol terus dikutip,” katanya.

Gulam turut mempersoalkan janji berkaitan tol yang menurutnya masih belum direalisasikan, sambil menyifatkan kedua-dua faktor itu terus menghakis pendapatan rakyat yang bekerja di luar Negeri Sembilan.

Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan kepentingan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di Negeri Sembilan supaya rakyat tidak lagi perlu bergantung kepada perjalanan harian yang jauh untuk mencari rezeki.

“Cadangan mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan di Negeri Sembilan adalah langkah yang lebih praktikal kerana ia mampu mengurangkan kebergantungan rakyat kepada perjalanan harian ke Kuala Lumpur, sekali gus mengurangkan beban kos hidup,” katanya.

Beliau menyerahkan kepada rakyat, khususnya warga perantau Negeri Sembilan, untuk menilai sendiri sama ada pelaksanaan BUDI95 benar-benar membantu golongan yang bergantung kepada kenderaan setiap hari bagi mencari rezeki. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO