Agenda Turun Padang Perkukuh Kebajikan, Kesejahteraan Bangsa Johor – Mohd Jafni

KULAI, 24 Julai – Komitmen Kerajaan Negeri Johor untuk terus mendekati rakyat dan mengutamakan kebajikan serta kesejahteraan Bangsa Johor diteruskan sebagaimana program turun padang yang dilaksanakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, pendekatan mendampingi masyarakat secara langsung menjadi antara keutamaan bagi memastikan setiap isu dan keperluan rakyat dapat didengar serta ditangani dengan lebih berkesan.

Dalam lawatan ke Murnijaya, Mohd Jafni meluangkan masa menghadiri sesi santai bersama penduduk kampung yang menjadi platform untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai isu melibatkan kemudahan asas, kebajikan penduduk, pembangunan kawasan serta penambahbaikan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Menurut beliau, suasana santai tanpa protokol memberi ruang kepada rakyat menyuarakan pandangan secara terbuka sekali gus membolehkan kerajaan memahami denyut nadi masyarakat di peringkat akar umbi.

“Pemimpin tidak boleh hanya berada di pejabat. Kita mesti sentiasa dekat dengan rakyat, hadir mendengar, memahami masalah dan berusaha mencari jalan penyelesaian bersama agensi berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan tersebut selari dengan kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang sentiasa menekankan budaya turun padang bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Dalam pada itu, Mohd Jafni turut menziarahi keluarga Encik Sedeli Ali dan Puan Noranita Bahron di Kampung Sri Leban, Murnijaya selepas kediaman mereka terjejas akibat kebakaran yang berlaku sehari sebelumnya.

Beliau menzahirkan rasa simpati terhadap musibah yang menimpa keluarga berkenaan dan bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Sebagai tanda keprihatinan, sumbangan awal sebanyak RM2,000 menerusi Yayasan Sejahtera Kulai telah disampaikan bagi membantu meringankan beban keluarga mangsa.
Selain itu, Pejabat DUN Bukit Permai akan membantu menyediakan surat sokongan, manakala urusan permohonan baik pulih rumah akan diselaraskan bersama penghulu, Pejabat Daerah serta agensi berkaitan.

Pada masa sama, beliau turut mengambil maklum beberapa isu setempat yang dibangkitkan penduduk termasuk kerosakan paip dan keperluan kemudahan komuniti untuk tindakan susulan.

Mohd Jafni menegaskan, setiap aduan rakyat akan diberikan perhatian dan dipantau sehingga penyelesaian dapat dilaksanakan.

“Dalam apa jua keadaan, rakyat tidak boleh dibiarkan menghadapi kesukaran bersendirian. Kerajaan Negeri akan terus hadir bersama masyarakat, mendengar, membantu dan berusaha memberikan penyelesaian yang terbaik demi kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO