Pilih Dacing, BN Terbukti Mampu Melonjakkan Ekonomi Negeri – Wan Rosdy

BAHAU, 24 Julai – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru rakyat Negeri Sembilan agar memberikan mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini bagi memastikan kestabilan politik serta kemajuan ekonomi negeri.

Menurut Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang, rekod pentadbiran BN telah membuktikan keupayaannya membawa pembangunan dan meningkatkan keyakinan pelabur, sekali gus melonjakkan ekonomi negeri sebagaimana yang telah dicapai di Pahang dan Johor.

“Saya menyeru kepada pengundi-pengundi Negeri Sembilan, sekiranya mereka ingin melihat negeri ini melonjak ekonominya dan pelaburan langsung asing (FDI) meningkat sebagaimana di Pahang dan Johor, maka pilihlah Barisan Nasional.

“’Track record’ Barisan Nasional telah terbukti mampu membawa negeri ke tahap yang lebih tinggi, terutamanya dari segi ekonomi,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu, Wan Rosdy bertemu dengan masyarakat India di Pusat Daerah Mengundi Taman Jaya di sini.

Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan BN bukan sahaja terletak pada aspek pembangunan ekonomi, malah dalam usaha memperkukuhkan perpaduan masyarakat berbilang kaum yang menjadi asas kepada kestabilan negara sejak merdeka.

“Dan juga daripada segi perpaduan kaum pun akan dapat kita eratkan. Kerana kita semenjak merdeka lagi, India, Cina, Melayu, dan lain-lain kaum memang telah bekerjasama daripada dulu lagi. Dan ini boleh memberi kestabilan.

“Dan apabila ada kestabilan, ekonomi akan melonjak. Dan yang pentingnya ialah wujudnya kestabilan politik dan ini memberi kepimpinan lebih fokus untuk membangunkan negeri dan boleh fokus untuk menjaga kebajikan rakyat, insya-Allah,” katanya.

Dalam masa sama, Wan Rosdy menyifatkan golongan muda sebagai pengundi yang matang dan bijak membuat pertimbangan berdasarkan prestasi serta rekod sesebuah kerajaan.

Beliau berharap pengundi muda akan memilih lambang dacing pada hari pengundian kerana itulah simbol rasmi BN di kertas undi.

“Saya harap mereka dapat mengundi dacing. Kita sentiasa menyebut dacing kerana pada kertas undi yang tertera ialah lambang dacing,” katanya.

Seterusnya, Wan Rosdy turut merujuk kepada sokongan besar yang diberikan oleh pengundi muda di Johor kepada BN sebagai petunjuk keyakinan generasi muda terhadap kepimpinan parti.

“Jadi saya harap mereka membuat penilaian terbaik sebagaimana kawan-kawan sebaya dengan mereka di Johor, yang telah boleh dikatakan melebihi hampir 90 peratus mengundi Barisan Nasional.

“Dan ini akan dapat diikuti oleh anak-anak muda, dan saya sangat yakin limpahan apa yang berlaku di Johor akan berlaku di Negeri Sembilan, insya-Allah,” katanya.

Manakala menyentuh mengenai calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, Wan Rosdy yakin Mohd Zaidy yang juga penyandang akan memberikan perkhidmatan yang terbaik sekiranya diberi kepercayaaan untuk penggal yang kedua. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO