Jalaluddin Tidak Pernah Abai Kebajikan, Kepentingan Masyarakat Orang Asli
JELEBU, 24 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan bahawa sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Jelebu, beliau tidak pernah mengetepikan kebajikan serta kepentingan masyarakat Orang Asli.
Malah kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan itu, pelbagai usaha telah dilaksanakan demi memastikan golongan itu terus menikmati pembangunan yang adil dan saksama termasuk membangkit hal yang berkaitan komuniti tersebut di dalam Dewan Rakyat.

“Sebagai Ahli Parlimen, dalam setiap perbahasan, saya tak pernah meninggalkan hal ehwal yang berkaitan dengan masyarakat Orang Asli. Bukan sahaja di kawasan Parlimen saya, malah di seluruh negara.
“Dulu ketika waktu PH 1.0 (Kerajaan Pakatan Harapan) saya memperjuangkan soal bayaran tambang pelajar, soal masa depan pelajar, masalah bantuan pelajar masyarakat Orang Asli, masalah kependudukan mereka, masalah pewartaan tanah penempatan rumah mereka, dan soal hak milik mereka,” katanya.
Tambah Jalaluddin, keadaan masyarakat Orang Asli kini jauh berbeza berbanding dahulu apabila semakin ramai dalam kalangan mereka berjaya melanjutkan pelajaran sehingga menjadi pensyarah, guru serta pegawai kanan kerajaan dengan kedudukan ekonomi yang semakin baik.
Namun begitu, katanya, mereka masih berdepan kekangan untuk mendapatkan pinjaman perumahan kerana tidak mempunyai hak milik tanah.
“Justeru kita membawa perkara ini ke Dewan Rakyat supaya kerajaan memberikan sedikit kelonggaran dalam syarat permohonan pinjaman perumahan. Kita perlu mencari mekanisme lain supaya mereka juga berpeluang memiliki rumah sendiri,” katanya.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan usaha pewartaan tanah penempatan masyarakat Orang Asli di Negeri Sembilan yang diperjuangkan sejak 2013 kini telah mencapai hampir 90 peratus.
Menurutnya, baki 10 peratus lagi akan menjadi antara keutamaan untuk diselesaikan sekiranya BN diberikan mandat membentuk kerajaan selepas 1 Ogos nanti.
“Bukan itu sahaja, kita juga mahu memastikan kawasan rayau dan kawasan pertanian mereka terus dipelihara kerana soal masa depan masyarakat Orang Asli adalah tanggungjawab kerajaan untuk diberikan perhatian yang sewajarnya,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa prinsip keadilan sentiasa menjadi pegangan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat tanpa mengira kaum atau latar belakang.
“Soal masa depan mereka juga menjadi tanggungjawab kerajaan untuk kita fikirkan masa depan mereka. Kita berlaku adil kepada semua kelompok masyarakat. Orang Melayu, haknya Orang Melayu seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan kita. Orang Cina pun sama, Orang India pun sama, apatah lagi masyarakat Orang Asli. Jadi semua mendapat hak yang sewajarnya
“Maknanya penampilan saya di kawasan ini dan layanan saya kepada masyarakat sama. Orang kampung tradisional, orang kawasan bandar ataupun pinggir bandar, termasuk Orang Asli dapat hak yang sama. “Mereka dapat dewan yang selesa, dapat kemudahan sukan yang sama, mendapat pencahayaan jalan yang sama. Malah saya memberi tumpuan kepada bina baru rumah dan juga pembaikan rumah,” katanya.
Selain itu, Jalaluddin berkata antara agenda yang akan terus diperjuangkannya ialah menyediakan kediaman kepada masyarakat Orang Asli yang memeluk agama Islam dan masih belum memiliki rumah sendiri.
Menurut beliau, perkara tersebut telah pun dibawa ke Majlis Agama Islam Negeri Sembilan sebelum ini, namun pelaksanaannya tertangguh berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
“Sekiranya diberikan mandat semula kepada Barisan Nasional, perkara ini akan menjadi antara keutamaan saya sebaik sahaja kerajaan dibentuk,” katanya.
Mengulas mengenai pencapaian pendidikan masyarakat Orang Asli, Jalaluddin menyifatkan perkembangan yang berlaku amat membanggakan hasil usaha berterusan pelbagai pihak.
Katanya, ketika beliau mula menjadi Ahli Parlimen pada 2018, bilangan anak Orang Asli dari Jelebu yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti masih boleh dibilang dengan jari.
“Pelbagai kempen kita buat, pelbagai suntikan semangat kita buat kepada anak-anak masyarakat Orang Asli dan sekarang, ratusan anak Orang Asli daripada Parlimen Jelebu sudah ada di setiap menara gading di seluruh negara.
“Maknanya pencapaian dan peningkatan mereka sangat memuaskan, sangat luar biasa,” katanya lagi.
Berhubung dengan PRN Negeri Sembilan di kerusi DUN Petang, Jalaluddin yang berdepan saingan daripada calon PH dan Bersatu menyatakan keyakinan bahawa rakyat akan terus memberikan sokongan kepada BN berdasarkan rekod perkhidmatan yang telah dibuktikan selama ini. – UMNO ONLINE
