Noraini Yakin S Leza Mampu Tawan Hati Pengundi Pilah
KUALA PILAH, 24 Julai – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berpandangan S Leza Md Yasin, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah mempunyai kelebihan tersendiri yang mampu menarik sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata penglibatan aktif Leza dalam badan bukan kerajaan (NGO) dan aktiviti kebajikan menjadikan beliau calon yang dekat di hati rakyat serta memahami keperluan mereka.
“Ini kelebihan apabila calon sendiri aktif dalam NGO sebab dia bukan buat kerja politik saja, kerja-kerja kebajikan, kerja mesra dengan rakyat dan itu diakui oleh pengundi-pengundi yang kami jumpa.
“Saya lihat ramai yang menyukai calon ini kerana kebanyakannya sudah mengenali beliau. Bukan sekadar kenal, malah ada yang berkongsi pengalaman tentang sikap beliau yang mesra dan sentiasa membantu masyarakat.
“Hubungan itu telah terjalin sejak beliau bergiat aktif bersama kepimpinan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan Ketua Wanita terdahulu,” katanya.
Noraini berkata demikian ketika ditemui UMNO Online usai melakukan ziarah kasih di Taman Murni, Pilah.
Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Johan Abd Aziz; Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari serta kepimpinan lain.
Mengulas mengenai program ziarah tersebut, beliau berkata maklum balas positif yang diterima daripada pengundi memberi keyakinan kepada BN untuk merampas kembali kerusi DUN Pilah pada PRN kali ini.
“Gerak kerja Wanita akan terus dipertingkatkan supaya kami dapat mendekati seramai mungkin pengundi. Insya-Allah, usaha ini akan diteruskan sehingga hari terakhir kempen.
“Kami berharap pengundi memberi peluang kepada calon BN, S Leza Md Yasin, untuk memperoleh kemenangan di DUN Pilah pada PRN kali ini,” katanya.
S Leza pada PRN ini berhadapan saingan dua penjuru dengan calon Pakatan Harapan yang juga penyandang bagi kerusi ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini, manakala pengundian awal pada 28 Julai. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
