Abdul Azeez Seru Pengundi India Berikan ‘Shakti’ Kepada Calon BN, Mereka Akan Berbakti

PALONG, 23 Julai – Masyarakat India diseru supaya memberikan ‘Shakti’ atau kuasa kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ini bagi membolehkan mereka meneruskan khidmat bakti serta menunaikan segala perancangan pembangunan yang telah disusun untuk rakyat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, beliau yang diamanahkan oleh kepimpinan tertinggi parti untuk menyantuni masyarakat India memilih pendekatan komunikasi yang mudah dan dekat di hati mereka agar mesej yang disampaikan dapat difahami dengan jelas.

Ketika menemui masyarakat India di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Palong dan Jeram Padang, beliau menjelaskan bahawa calon BN yang juga penyandang baru berkhidmat selama dua tahun lapan bulan wajar diberikan peluang untuk melengkapkan tempoh lima tahun sebagai wakil rakyat.

“Saya berjumpa dengan masyarakat India. Saya minta mereka kekalkan ‘incumbent’ kita. Kita tak rampas daripada siapa-siapa. ‘Incumbent’ ini baru berkhidmat dua tahun lapan bulan.

“Dia dah susun atur dia punya perjuangan, hala tuju, pembangunan untuk Melayu, India, Cina di kawasan Palong dan Jeram Padang. Jadi saya kata bagilah dia peluang untuk mereka teruskan lima tahun ini, bantu mereka,” katanya.

Abdul Azeez yang fasih bertutur dalam bahasa Tamil berkata, beliau menggunakan istilah ‘Shakti’ yang cukup sinonim dalam kalangan masyarakat India bagi menerangkan bahawa kuasa sebenar berada di tangan pengundi.

“Saya beritahu mereka, Shakti itu ada pada rakyat. Kalau rakyat beri Shakti kepada calon BN, mereka akan berbakti kepada rakyat.

“Kuasa memilih ada di tangan pengundi. Gunakan kuasa itu untuk memilih wakil rakyat yang mahu terus bekerja dan berkhidmat kepada semua kaum,” ujarnya.

Beliau turut mengimbau perjalanan panjang UMNO yang kini hampir mencecah usia 80 tahun sebagai sebuah parti yang tidak pernah meninggalkan rakyat walaupun berdepan pelbagai cabaran.

“UMNO sudah hampir 80 tahun bersama rakyat. Pelbagai cabaran telah kita lalui, namun kita tidak pernah lari daripada tanggungjawab. Walaupun diuji, kita tetap turun padang membantu rakyat.

“Itulah semangat perjuangan UMNO yang terus kekal sehingga hari ini,” katanya.

Tambahnya lagi, pendekatan penyampaian yang bersahaja dan menggunakan bahasa mudah lebih berkesan khususnya dalam mendekati generasi muda berbanding ucapan yang terlalu berbunga-bunga.

“Saya gunakan bahasa yang mudah difahami. Saya tidak menyerang sesiapa. Saya hanya menjelaskan kenapa rakyat perlu memberi peluang kepada wakil rakyat sedia ada untuk meneruskan perjuangan dan menunaikan amanah kepada rakyat.

“Kalau tidak diberi peluang untuk melengkapkan tempoh perkhidmatan, bagaimana segala perancangan yang telah disusun dapat diselesaikan?” katanya lagi.

Mengulas mengenai sokongan masyarakat India kepada BN, Abdul Azeez optimis dengan penerimaan yang ditunjukkan berdasarkan pengalaman luasnya mengharungi pelbagai pilihan raya.

“Saya sudah melalui banyak pilihan raya dan saya dapat melihat reaksi serta bahasa tubuh mereka yang cukup positif.

“Insya-Allah, saya akan terus membawa naratif yang sama, iaitu mengajak rakyat memberikan ‘Shakti’ kepada calon BN supaya mereka dapat terus berbakti kepada seluruh masyarakat,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO