BN Kekal Komited Bersama Kerajaan Perpaduan Sehingga Tamat Penggal – Ahmad Zahid

GEORGE TOWN, 23 Julai – Barisan Nasional (BN) kekal komited bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen Ke-15 sekali gus menolak dakwaan wujud usaha menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN berkata komitmen tersebut selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan dan tidak pernah berubah.

“Saya tidak ada niat langsung, tiada langkah Bangkok ke, langkah Dubai ke, kami (BN) pegang bahawa apabila kami komited untuk berada di dalam Kerajaan Perpaduan atas titah Tuanku Agong dulu, kami komited sehingga akhir penggal Parlimen yang ke-15.

“Jangan perlu timbul keraguan dan sebagainya. Biarkanlah orang bercakap, asalkan dalam minda kita ada pemikiran bahawa kita harus bersama, untuk kestabilan politik dan jiwa kita harus ikhlas dalam perkara ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) ke-61 di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan Pulau Pinang Datuk Rashidi Zinol dan Ketua Pemuda BN Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Mengulas laporan mengenai penutupan pusat daerah mengundi (PDM) BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata isu berkenaan sedang ditangani oleh kepimpinan negeri.

“Saya telah membincangkan perkara ini dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilion (Datuk Seri Jalaluddin Alias) dan kebetulan kawasan itu berada dalam kawasan Parlimen beliau (Jelebu).

“Perkara itu sedang dalam perjalanan untuk penyelesaian. Kita ada tempoh kira-kira sembilan hari lagi dan saya fikir perkara itu boleh diselesaikan,” katanya.

Terdapat laporan yang mengatakan PDM BN Klawang enggan beroperasi berikutan tanda protes selepas BN tidak meletakkan calon di DUN tersebut pada PRN Negeri Sembilan.

Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, DUN Klawang bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Bakri Sawir, Danni Rais calon Perikatan Nasional (PN) dan Muhammad Adib Musa (Bersatu).

Sementara itu, Ahmad Zahid menegaskan bahawa tiada sebarang perbincangan rasmi antara BN dan PN mengenai kerjasama politik untuk dikenali sebagai Perikatan Barisan Nasional (PBN).

Beliau berkata cadangan itu hanya disebut dalam ucapan kempen dan tidak pernah dibincangkan secara rasmi, sebaliknya harus diperhalusi terlebih dahulu dengan pihak terlibat.

Pada sidang media sama, Ahmad Zahid turut berseloroh membalas pantun yang dikongsikan Perdana Menteri semalam dengan menyampaikan pantun yang puitis dan sarat dengan maksud tersendiri.

“Mendaki ke Gunung Tahan, jatuh ke gaung temui maut. Bumbung tercabut, mampu ditahan. Jika ribut diterbang ke laut,” katanya.

Beliau juga berkata hubungan dengan Anwar masih baik dan mesra seperti sebelum ini walaupun bersaing antara satu sama lain pada PRN Negeri Sembilan.

Semalam, Anwar berkongsi serangkap pantun mengenai kepentingan kesepakatan dan disiplin dalam sesebuah persahabatan dan permuafakatan. – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO