Jentera BN, PN Bergerak Seiring Perkukuh Kempen PRN – Dr Asyraf

KUALA PILAH, 24 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata momentum sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan terus menunjukkan peningkatan hasil gerak kerja jentera yang semakin tersusun dan bersepadu.

Menurut beliau, gelombang sokongan itu telah dapat dilihat sejak hari pertama kempen, didorong oleh kerjasama erat antara jentera BN dan Perikatan Nasional (PN) yang kini bergerak seiring di semua peringkat.

“Alhamdulillah, momentum sokongan dan juga gerak kerja jentera semakin kemas dan gelombangnya semakin meningkat. Sebagaimana hari pertama lagi sebenarnya kita dapat lihat gelombang biru itu di mana-mana.

“Malah ia disumbangkan oleh gerakan bersepadu daripada jentera PN yang hari ini telah pun mendapat pengarahan yang jelas daripada pimpinan untuk bersama-sama bergerak, seiring dengan jentera BN,” katanya.

Dr Asyraf berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas melakukan ziarah kasih di Kampung Sungai Jelutong bersama calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, Datuk Ismail Lasim, Khamis.

Terdahulu pada paginya, beliau turut sama bersarapan bersama orang ramai di Kedai Kak Lang Simpang Sungai Jelutong, di sini.

Sementara itu, Dr Asyraf turut menyifatkan kejayaan besar BN pada PRN Johor sebelum ini sebagai pembakar semangat kepada jentera untuk terus bekerja keras sepanjang tempoh berkempen di Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan fokus utama jentera ketika ini ialah memastikan setiap pengundi disantuni tanpa mengira latar belakang atau kecenderungan politik.

“Kita daripada awal lagi kita beritahu, gelombang Johor itu bagus untuk memberi semangat dan itu juga yang memotivasikan mereka untuk bekerja keras. Contohnya peringkat awal kita tak melibatkan semua negeri di Negeri Sembilan.

“Tetapi keinginan mereka untuk menyumbang, jentera-jentera daripada negeri, bahagian, Johor sendiri yang turun untuk membantu jentera tempatan itu sangat luar biasa… mereka turun dengan semangat sukarela yang tinggi.

“Paling penting fokus ialah untuk bertemu dengan semua pengundi-pengundi. Jangan ada yang tertinggal. Tidak kira mereka ini dianggap sebagai kategori penyokong, pembangkang ataupun penyokong parti lain, itu tidak mustahak.

“…yang penting, semua pengundi mesti disantuni dan jentera perlu bergerak ke setiap rumah dan bertemu dengan seramai mungkin supaya bila menjelang pengundian akan datang, kita tidak terlepas walau seorang pun yang kita sudah santuni,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO