Dari Johor Ke Pentas Dunia, Semua Murid SRBJ Sambung Pengajian – Dr Muhammad Naqib
JOHOR BAHRU, 23 Julai – Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) terus membuktikan keberkesanan pendekatan pendidikan yang diperkenalkan Kerajaan Negeri apabila mencatat pelbagai pencapaian membanggakan dalam tempoh hanya setahun pelaksanaannya.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, SRBJ merupakan inisiatif strategik Kerajaan Negeri yang kini dilaksanakan di empat sekolah rintis iaitu SK Tasek Utara, SK Seri Kota Puteri 4, SMK Tasek Utara dan SMK Seri Kota Puteri 2.
Jelasnya, program tersebut berteraskan pengukuhan penguasaan Bahasa Inggeris, pemerkasaan Pendidikan STEM, pembangunan sahsiah, peningkatan kebolehpasaran murid serta pentaksiran berasaskan kompetensi.
“Matlamat utama SRBJ adalah untuk meletakkan sekolah-sekolah ini dalam kelompok 20 sekolah harian terbaik di Malaysia menjelang tahun 2031.
“Walaupun baru setahun dilaksanakan, pelbagai perkembangan positif telah mula direkodkan. Pencapaian ini membuktikan keberkesanan pendekatan yang dilaksanakan hasil komitmen bersepadu pihak sekolah, guru, murid, ibu bapa dan semua pihak yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata, dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, kedua-dua sekolah menengah SRBJ berjaya mencatatkan 100 peratus layak menerima sijil, sekali gus membuktikan peningkatan prestasi akademik yang memberangsangkan.
“Lebih membanggakan 100 peratus murid SRBJ berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat tertiari, melibatkan 229 calon SPM 2024 dan diteruskan oleh 171 calon SPM 2025.
“Ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan akademik, malah menunjukkan kejayaan usaha memastikan setiap murid mempunyai laluan pendidikan yang jelas selepas menamatkan persekolahan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut Dr Muhammad Naqib berkata, dalam bidang STEM pula, murid-murid SRBJ terus mengharumkan nama Johor menerusi penyertaan dan kemenangan dalam pelbagai pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
“Antara kejayaan terbesar ialah apabila murid SMK Seri Kota Puteri 2 merangkul Pingat Emas SAFEATHON 2026 di Universiti Teknologi Malaysia menerusi pertandingan inovasi berkaitan keselamatan.
“Sekolah sama turut mencipta nama di pentas antarabangsa apabila memenangi Anugerah Inovasi Idea Terbaik pada Japan Youth Summit 2026 menerusi projek “Craytion”, iaitu inovasi krayon mesra alam berasaskan minyak masak terpakai dan pewarna semula jadi yang menyokong terapi sensori kanak-kanak autism.
“Pertandingan itu menghimpunkan delegasi daripada 12 negara termasuk Amerika Syarikat, China, Kanada dan Hong Kong, sekali gus membuktikan keupayaan pelajar Johor bersaing di pentas global,” jelasnya lagi.
Dalam masa sama, beliau juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, memaklumkan satu lagi pencapaian penting ialah jalinan kerjasama strategik antara SRBJ dan Harvard University menerusi Program for Scientifically Inspired Leadership (PSIL).
“Kerjasama itu bakal memberi manfaat kepada 100 murid SRBJ melalui pendedahan kepada amalan pendidikan bertaraf antarabangsa yang menekankan pembangunan kepimpinan, pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan inovasi.
“Kerajaan Negeri percaya kejayaan Sekolah Rintis Bangsa Johor memerlukan sokongan berterusan daripada semua pihak termasuk warga pendidik, ibu bapa, komuniti, rakan strategik serta seluruh ekosistem pendidikan,” ujarnya.
Ujarnya lagi, dengan semangat kebersamaan dan komitmen yang berterusan, SRBJ diyakini mampu melahirkan generasi Bangsa Johor yang berilmu, berakhlak, berdaya saing serta bersedia menyumbang kepada pembangunan negeri, negara dan masyarakat global. – UMNO Online
