Pembangunan Di Negeri Sembilan Adalah Hasil ‘Air Tangan’ BN – Abdul Rahman

SEREMBAN, 23 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menegaskan bahawa pembangunan di Negeri Sembilan adalah hasil ‘air tangan’ Barisan Nasional (BN).

Ujarnya, Lembah Visi Malaysia merupakan idea bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan membawa idea untuk mengembangkan limpahan pembangunan Lembah Klang ke Negeri Sembilan.

“Di Negeri Sembilan, pembangunan yang kita lihat di seluruh kawasan termasuk juga Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu ini, semuanya adalah ‘air tangan’ BN. Malah saya agak terkejut apabila Pakatan Harapan (PH) menyebut tentang Lembah Lembah Visi Malaysia atau Malaysia Vision Valley.

“Itu adalah idea Datuk Seri Najib… saya dahulu Menteri Ekonomi. Idea kita ialah untuk mengembangkan Lembah Klang itu ke Negeri Sembilan. Sebab itu banyak pelaburan dan sebagainya.

“‘In fact’ kita pastikan di Seremban itu ada satu stesen ‘High Speed Rail’. Itu zaman kita. Jadi kita sudah ada perancangan yang besar untuk Negeri Sembilan termasuk memastikan Malaysia Vision Valley ataupun Lembah Visi Malaysia itu menjadi kenyataan,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, Pakatan Harapan (PH) ternyata tidak mampu untuk mentadbir dengan sebaiknya dan beliau beranggapan bahawa DUN Labu akan kembali ke pangkuan BN.

“Kita cuma bagi peluang kepada mereka (PH) untuk menunjukkan sama ada mereka mampu sejak 2018 atau tidak. Ternyata mereka tidak mampu dan saya cukup yakin rakyat di Labu ini akan kembali ke BN.

“Inilah parti yang mempunyai visi. Saya kira BN adalah parti berbilang kaum yang tersohor antara tersohor di dunia. BN yang mewakili semua kaum memerintah sebuah negara tanpa putus untuk 60 tahun,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa calon BN bagi DUN Labu, Siti Umaira Hasim merupakan calon yang terbaik untuk kawasan tersebut.

“Hari ini bersama dengan calon nombor tiga DUN Labu iaitu Maira Hasim. Saya beritahu kepada pengundi di sini bahawa kalau kita mengundi nanti ada beberapa kriteria. Pertama, undilah parti yang ada pengalaman. Tidak boleh dinafikan BN ini mempunyai pengalaman yang cukup panjang dan terserlahlah di Negeri Sembilan ini selama 60 tahun.

“Kemudian, kriteria yang kedua ialah untuk memilih seorang calon atau wakil rakyat yang ada pengalaman. Maira mungkin seorang anak muda, tapi dia lahir dari keluarga yang giat dalam politik.

“Bapanya adalah seorang bekas wakil rakyat. Seperti saya kata tadi, saya juga adalah anak bekas wakil rakyat. Jadi kami membesar dalam keadaan di mana bapa kami melayan, mengurus masalah rakyat dan sebagainya. Jadi benda itu ada melekat dalam DNA Maira itu, saya pasti.

“Ketiga, Maira adalah seorang anak muda dan yang keempat, dia juga mewakili kesaksamaan gender iaitu calon wanita,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO