Keputusan Onn Hafiz Tepat, Jangan Politikkan Pelantikan Timbalan Exco

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Exco Wanita UMNO Malaysia, Haslinda Salleh, menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mewujudkan serta melantik sepuluh Timbalan EXCO Kerajaan Negeri Johor, sambil menegaskan langkah itu adalah demi memperkukuhkan kecekapan pentadbiran dan memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO Negeri Johor berkata, keputusan berkenaan tidak seharusnya dinilai berdasarkan persepsi politik semata-mata, sebaliknya perlu dilihat daripada sudut keperluan pentadbiran yang semakin mencabar seiring perkembangan pesat negeri Johor.

Katanya, Johor kini berada dalam fasa pembangunan yang rancak dengan kemasukan pelaburan yang semakin meningkat serta pelbagai agenda pembangunan berskala besar yang memerlukan pengurusan lebih cekap dan tersusun.

“Pelantikan ini bukan bertujuan menambah jawatan semata-mata, tetapi memperkukuhkan kapasiti pentadbiran kerajaan. Kerajaan yang baik ialah kerajaan yang mampu membuat keputusan dengan cepat, melaksanakan dasar dengan cekap dan menyampaikan manfaat kepada rakyat tanpa birokrasi yang melambatkan.

“Saya yakin Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi telah membuat pertimbangan yang teliti sebelum mengambil keputusan ini. Langkah ini mencerminkan komitmen beliau untuk memastikan pentadbiran negeri terus kukuh, dinamik dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan demi kemajuan Johor dan kesejahteraan ‘Bangsa Johor’.

“Tahniah kepada semua 10 orang Timbalan Exco Kerajaan Negeri Johor atas pelantikan ini. Pikullah amanah dengan penuh integriti, keikhlasan dan rasa tanggungjawab. Jadikan jawatan ini sebagai ruang untuk berkhidmat, bukan untuk bermegah,” katanya.

Mengulas kritikan yang dilemparkan mempersoalkan kewujudan jawatan ini, beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis menegaskan, setiap pihak berhak memberikan pandangan, namun prestasi dan hasil kerja akhirnya akan menjadi penilaian sebenar.

“Kepada yang terus mempertikaikan, biarlah masa dan hasil kerja menjadi jawapannya. Prestasi akan sentiasa mengatasi persepsi, manakala kejayaan rakyat adalah ukuran sebenar kepada setiap dasar yang dilaksanakan.

“Sesuatu keputusan perlu dinilai berdasarkan keperluan pentadbiran dan manfaat kepada rakyat, bukan sekadar persepsi politik. Teruskan melangkah, teruskan bekerja. Demi Bangsa Johor dan Demi Johor Cara Johor,” tegas beliau.

Semalam, Onn Hafiz mengumumkan pelantikan sepuluh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Negeri bagi memperkukuh jentera pentadbiran dan mempercepat penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Pelantikan itu juga bertujuan mempercepat penyelesaian isu rakyat serta memastikan setiap dasar pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan, bagi memastikan Johor terus menjadi negeri maju menjelang 2030 selari dengan pelaksanaan kerangka Maju Johor 2030 serta Johor Economic Transformation Plan (JETP). – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO