Mohd Asna Berazam Realisasikan Pembinaan Sekolah Di Lenggeng
SEREMBAN, 23 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin berazam untuk merealisasikan pembinaan sekolah di kawasan tersebut sekiranya kekal diberi mandat sebagai wakil rakyat.
Ujarnya, kerja-kerja awal untuk merealisasikan pembinaan sekolah itu telah dimulakan dengan permohonan awal ketika beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.

“Saya adalah seorang penyandang dan memang telah banyak kerja saya lakukan untuk rakyat. Cabaran saya yang terbesar sekarang ini adalah berkenaan dengan sekolah baharu.
“Lenggeng ini dah mula membangun. Ada penduduk 3,000 penduduk yang baharu. Jadi, memang masalah yang kritikal ialah sekolah. Saya telah mula menjalankan kerja-kerja awal untuk memohon kompleks sekolah. Kompleks sekolah, maksudnya untuk sekolah rendah dan sekolah menengah.
“Itulah cabaran dan salah satu perkara yang saya akan laksanakan sekiranya diberi mandat sekali lagi oleh rakyat DUN Lenggeng,” katanya kepada UMNO Online.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa kerja-kerja menyantuni rakyat sudah giat dijalankan sebaik sahaja DUN Negeri Sembilan dibubarkan.

“Sebenarnya DUN Negeri Sembilan ini dah bubar 4 Jun 2026, hampir sama dengan Johor. Jadi kita dah berkempen, dah buat gerak kerja bermula dari tarikh tersebut. Alhamdulillah, semua lokaliti kita dah masuk, dan santuni. Kita juga dah kita dah lancarkan jentera dan buka semua pusat daerah mengundi (PDM). Semua dah bergerak dan berjalan dengan lancar.
“Pengundi-pengundi kita dah mula santuni. Alhamdulillah penerimaan kali sangat luar biasa dan kita kena terus kerja lebih kuat untuk dapatkan majoriti lebih besar, Insya-Allah,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menyeru para jentera untuk bekerja keras bagi memenangkan calon-calon BN.
“Kepada para jentera, jangan terlalu ‘overconfident’. Pastikan pengundi putih keluar untuk mengundi pada hari kejadian. Teruskan keluar dan bekerja,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos, selepas DUN dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
